KLANG: Dua kenderaan pacuan empat roda dan satu trak milik Polis Diraja Malaysia yang membawa mayat 10 mangsa nahas pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1), di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina Shah Alam, tiba di Jabatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, kira-kira 1.20 pagi ini.

Semasa kenderaan itu tiba, ahli keluarga dan waris hanya dapat menunggu di laluan masuk ke unit berkenaan kerana mereka tidak dibenarkan memasuki ke pekarangan Jabatan Forensik ketika proses menurunkan kesemua jenazah dilakukan.

Difahamkan, proses bedah siasat akan dilakukan bermula 8 pagi ini.

Pemerhatian Bernama setakat 1.40 pagi, ahli keluarga mangsa yang berada di sekitar Jabatan Forensik HTAR sempat mengadakan tahlil serta bacaan Surah Yasin.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan sebelum ini mengesahkan 10 lelaki terkorban dalam nahas membabitkan pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina dekat sini petang semalam.

Beliau berkata, lapan daripada mereka adalah terdiri daripada enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu, manakala dua lagi orang awam masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta yang lalu di tempat kejadian.

[LAPOR LANGSUNG] Pesawat terhempas di Elmina, 10 terkorban

-- BERNAMA