IPOH: Jurulatih penerbangan yang terselamat dalam insiden pesawat terhempas di Jalan Dr Nazrin Shah, Sungai Rokam, Medan Gopeng di sini pada Isnin lepas, telah dipindahkan ke sebuah hospital swasta di Damansara, Selangor hari ini.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62, yang mengalami kecederaan dan kini berada dalam keadaan stabil, dipindahkan dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh ke hospital lain untuk menerima rawatan lanjut atas permintaan keluarga mangsa.

"Difahamkan mangsa akan menjalani pembedahan pada hari ini," katanya ringkas ketika dihubungi Bernama hari ini.

BACA: Pesawat terhempas: Allahyarham Fajim Juffa seorang yang ceria, memudahkan urusan orang lain - PAT

BACA: Pesawat terhempas: Kematian jurulatih penerbangan berpunca cedera di tengkuk, dada

Dalam insiden kira-kira 8 malam Isnin itu, jurulatih penerbangan Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52, dari Semenyih, Selangor maut manakala Muhammad Din dari Bukit Damansara, Kuala Lumpur cedera, dengan kedua-dua jurulatih penerbangan tersebut dilaporkan berlepas dari sekolah latihan kapal terbang yang terletak berhampiran sebelum kejadian berlaku.

Jenazah Allahyarham Fajim Juffa Mustafa Kamal selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tasik Kesuma di Semenyih semalam.

-- BERNAMA