Skip to main content

Malaysia

Pesta Kaamatan lambang kesyukuran, penyatuan rakyat - Tun Musa

KOTA KINABALU, 2 Nov -- Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman bergambar kenangan bersama Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (kanan) selepas menerima Watikah Pelantikan sebagai Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) Keempat dalam satu majlis berlangsung di Istana Seri Kinabalu, di sini hari ini.  --fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
Tun Musa berkata kepelbagaian masyarakat Sabah yang terdiri daripada lebih 30 kumpulan etnik serta pelbagai subetnik merupakan kekuatan terbesar negeri itu. - Gambar fail/Bernama

KOTA KINABALU: Pesta Kaamatan bukan sekadar warisan tradisi turun-temurun, malah kini menjadi lambang kesyukuran yang menterjemahkan kekayaan budaya serta medium penyatuan rakyat Sabah.

Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman berkata walaupun peranan penanaman padi dalam kehidupan masyarakat telah berubah seiring arus pemodenan dan perkembangan semasa, intipati Kaamatan sebagai perayaan kesyukuran, kebersamaan dan saling menghormati tetap utuh.

Beliau berkata kepelbagaian masyarakat Sabah yang terdiri daripada lebih 30 kumpulan etnik serta pelbagai subetnik merupakan kekuatan terbesar negeri itu.

“Seiring peredaran zaman, Kaamatan telah berkembang menjadi perayaan yang menyatukan seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, agama mahupun latar belakang.

"Keharmonian dan persefahaman dinikmati rakyat Sabah sejak sekian lama terus menjadi contoh kepada negara. Justeru, kita perlu menolak sebarang unsur perpecahan, fahaman ekstrem dan sentimen sempit yang boleh menggugat perpaduan serta muhibah yang telah lama dipupuk bersama," katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan bersempena sambutan Pesta Kaamatan 2026, hari ini.

Menyentuh kerancakan kemajuan negeri, Tun Musa turut menekankan pentingnya memastikan tiada komuniti atau kawasan yang tercicir daripada arus pertumbuhan ekonomi.

Bagi tujuan itu, beliau berkata penekanan berterusan perlu diberikan kepada aspek pendidikan, latihan kemahiran, pembangunan infrastruktur, capaian digital dan peluang ekonomi khususnya di kawasan luar bandar serta pedalaman.

Beliau turut menasihatkan generasi muda agar melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, disiplin, dan nilai murni supaya mampu menyumbang secara bermakna kepada masa depan Sabah.

"Dalam masa sama, kita mesti terus memelihara dan menghargai tradisi budaya, warisan masyarakat pribumi serta nilai yang diwariskan oleh nenek moyang kita. Tradisi, bahasa, seni dan adat resam masyarakat kita merupakan khazanah amat bernilai yang menjadi identiti dan jiwa negeri Sabah," katanya.

Mengakhiri perutusannya, Tun Musa bersama isteri, Toh Puan Faridah Tussin mengucapkan 'Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan' kepada seluruh rakyat yang meraikannya.

Beliau turut mengajak rakyat untuk bersama-sama mensyukuri nikmat dikurniakan dan memperkukuh semangat perpaduan, kasih sayang serta keprihatinan demi memastikan Sabah terus aman, maju dan makmur.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement