MALAYSIA
Pesta makanan hanya elemen sampingan, Karnival Sumud Nusantara fokus advokasi Gaza - MAPIM

3D Gaza Time Tunnel turut mempamerkan artifak asal dari Gaza seperti mata wang, manuskrip lama dan koleksi khas sempena Karnival Sumud Nusantara 2025 di Dataran Merdeka. - Bernama
KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menegaskan bahawa penganjuran pesta makanan (Food Fest) dalam Karnival Sumud Nusantara 2025 hanyalah elemen sampingan dan bukan fokus utama karnival tiga hari.
Sebaliknya, karnival anjuran bersama Majlis Perundingan MAPIM dan Cinta Gaza Malaysia (CGM) yang berlangsung di Dataran Merdeka bermula Jumaat hingga Ahad ini bertujuan advokasi, solidariti dan mendidik rakyat Malaysia terhadap isu Gaza.
MAPIM menjelaskan karnival itu turut menyediakan pengalaman interaktif dan pendidikan untuk semua pengunjung termasuk keluarga, melalui pelbagai aktiviti berbentuk seni, budaya dan kerohanian.
"Food Fest hanyalah satu daripada elemen dalam program yang lebih luas... Ia bukan fokus utama program dan keuntungan peniaga yang diperoleh disalurkan secara sukarela melalui zakat dan infaq kepada Gaza."Aktiviti ini bertujuan agar pengunjung meluangkan masa secukupnya untuk memahami penderitaan dan semangat muhibah rakyat Palestin dengan cara yang dekat dengan budaya Malaysia," kata MAPIM dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Mengulas lanjut, MAPIM berkata pihaknya menghormati pandangan NGO dan individu yang prihatin terhadap penderitaan Gaza, namun menolak dakwaan bahawa karnival berkenaan bersifat eksploitasi atau komersialisasi.
"Kami ingin menegaskan bahawa karnival ini adalah strategi kreatif jangka panjang, bukan eksploitasi atau komersialisasi penderitaan Palestin," kata MAPIM.
Sehubungan itu, MAPIM menyeru rakyat Malaysia untuk terus menzahirkan solidariti terhadap Gaza melalui pelbagai usaha termasuk doa, sumbangan, seni dan gerakan sukarela.
"Slogan "Malaysiaku Bersama Gaza" mencerminkan bahawa setiap usaha, walau kecil, menyatukan suara rakyat Malaysia dalam satu tujuan: Gaza bebas, Palestin merdeka," kata MAPIM.
Malam Himpunan dan Selawat - MalaysiaKu Bersama Gaza merupakan acara kemuncak Karnival Sumud Nusantara 2025, anjuran bersama Majlis Perundingan MAPIM dan Cinta Gaza Malaysia (CGM).
Acara berkenaan dijangka menghimpunkan lebih 100,000 peserta dari seluruh negara serta bakal disertai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan menyampaikan syarahan perdana dan ucapan perasmian.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami