KUALA LUMPUR: Sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan dalam membangunkan modal insan tempatan, PETRONAS menganugerahkan tajaan pendidikan kepada pelajar yang layak menerusi program PETRONAS Memperkasakan Ilmu.

Penajaan dengan nilai keseluruhan RM340 juta itu membolehkan penerima melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi PETRONAS dan beberapa universiti tempatan lain, serta institusi pendidikan luar negara di Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, New Zealand, China dan Jepun.

Lebih menarik, buat kali pertama tahun ini, PETRONAS turut menawarkan tajaan ke institusi pendidikan di Korea Selatan.

Pengerusi PETRONAS, Tan Sri Dato’ Seri Mohd Bakke Salleh, bersama dengan Naib Presiden Kanan, Pelaksanaan Projek dan Teknologi, PETRONAS, Datuk Bacho Pilong, menyampaikan sijil tajaan kepada 600 orang pelajar terbabit di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pada hari Sabtu.

Mohd Bakke berkata, “PETRONAS percaya pelaburan dalam pendidikan dan pembangunan modal insan pada semua peringkat akan melahirkan bakat yang mampan dan berterusan bagi PETRONAS, industri dan juga negara.”

Dengan portfolionya kini melangkaui industri minyak dan gas ke arah spektrum tenaga yang lebih luas, PETRONAS memerlukan kemahiran baharu bagi memenuhi keperluan perniagaan yang semakin berkembang, sekali gus melahirkan tenaga profesional yang berpengetahuan tinggi.

"Kita memilih pelajar-pelajar yang cemerlang dari segi akademik dan bukan akademik. Malah kita juga menilai kemahiran mereka dalam penyelesaian masalah, kreativiti dan cara pemikiran supaya kita boleh memastikan bahawa mereka akan mendapat keputusan cemerlang apabila mereka melanjutkan pelajaran," kata Pengurus Besar Pelaburan Modal Insan, Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan PETRONAS, Syed Mohammad Muhafiz Syed Mohd Bakar, ketika ditemui selepas majlis penyerahan sijil tajaan tersebut.

Pengerusi PETRONAS, Tan Sri Mohd Bakke Salleh (duduk, tengah) bersama 600 penerima tajaan pendidikan PETRONAS.

Lebih 10,000 calon membuat permohonan namun hanya pelajar dengan keputusan akademik yang cemerlang serta memiliki kualiti kepimpinan, kecerdasan, semangat bekerjasama dan kemahiran menyelesaikan masalah, dipilih untuk menerima tajaan.

"Pada saya, PETRONAS tajaan terbaik yang akan memberi apa yang saya inginkan. Walaupun baru dua bulan ditaja, saya dapat lihat PETRONAS menjaga dan memberi sokongan yang sangat baik kepada anak-anak tajaan mereka," kata penerima tajaan, Aridh Shahib Roslee.

"Saya pilih PETRONAS sebab saya rasa PETRONAS merupakan syarikat yang fokus dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat dan menjaga kelestarian alam. Saya amat berminat untuk melibatkan diri dalam aktiviti bermakna seperti itu kerana saya ingin menyumbang kepada masyarakat dan negara," kata seorang lagi penerima tajaan, Rachel Kang.

Sejak 1975, PETRONAS telah menaja lebih 38,000 pelajar dalam pelbagai disiplin antaranya Kejuruteraan Kimia, Kejuruteraan Mekanikal, Kejuruteraan Petroleum, Geofizik, Perakaunan, Pemasaran dan Undang-Undang.

PETRONAS juga akan terus menaja pelajar dalam bidang Sains Data dan Kejuruteraan Data, sebagai memenuhi aspirasi kemajuan transformasi digital.