KUALA LUMPUR: Yayasan Amal ASAS (YAA) menganjurkan usaha menyantuni insan-insan yang terlibat dalam bidang kerja 3D (dirty, dangerous & difficult) pada Jumaat sebagai tanda penghargaan.

Jelas Presiden Alumni Sekolah Alam Shah (ASAS), Ghazali Bujang, insan-insan yang diraikan itu adalah para petugas pembersihan awam dan pelupusan sisa pepejal negara.

“Mereka bukanlah doktor, jururawat, polis atau tentera dan tidak dikenali ramai sebagai petugas barisan hadapan. Namun, mereka turut berisiko tinggi terdedah kepada bahaya COVID-19.

“Kerja-kerja yang berpendapatan rendah dan lazimnya kita sendiri tidak gemar, bahkan mahu elak daripada dilakukan sendiri. Perkhidmatan mereka tidak terputus sepanjang tempoh PKP (perintah kawalan pergerakan).

“Malah, mereka juga turut menyumbang peranan semasa pasca banjir yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

Yayasan Amal ASAS (YAA) menganjurkan usaha bagi menyantuni insan-insan berjasa ini melalui program majlis berbuka puasa, sumbangan bakul makanan serta wang tunai di setiap negeri di Semenanjung Malaysia.

Bertepatan dengan bulan penuh kemuliaan ini, YAA menyantuni golongan itu melalui program majlis berbuka puasa, sumbangan bakul makanan serta wang tunai di setiap negeri di Semenanjung.

Program yang dinamakan Infaq Ramadan 1443H ini menyasarkan kutipan sumbangan sebanyak RM200,000 bagi seramai 1,500 orang penerima.

Antara lokasi program sumbangan yang telah berjaya diadakan ialah di Kuala Terengganu, Segambut, Pasir Putih (Kelantan), Sabak Bernam, Ipoh dan George Town.

Program yang sama turut  akan diadakan di Melaka, Kuala Kangsar, Pendang, Teluk Kumbar dan Kuantan.

Program ini turut dijayakan dengan kerjasama pihak-pihak seperti Ekuiti Nasional Berhad, SP Setia, Alam Flora, Majlis Perbandaran Teluk Intan, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Majlis Daerah Pasir Putih, Majlis Bandaraya Ipoh, Majlis Daerah Sabak Bernam, Universiti Sains Malaysia, SWM Environment, KDEB Waste Management, Majlis Perbandaran Kuala Kangsar, Environment Idaman, Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Bandaraya Kuantan.

YAA menjemput rakyat Malaysia yang ingin menyumbang derma wang ringgit kepada program ini untuk berbuat demikian di laman web https://www.asas.com.my/infaq-ramadhan/ atau di nombor akaun 12140010001684 (Bank Islam) atas nama Yayasan Amal ASAS dengan rujukan Infaq Ramadan.