DREBAR
Peugeot 508 (facelift) dilancarkan. Harga bermula dari RM175,000


Terdapat tiga varian yang boleh dipilih: 508 THP, 508 SW THP (yang berkongsi enjin petrol sama), dan 508 GT yang membakar diesel.
Persamaan kepada 308 THP bagi varian-varian 508 THP serta 508 SW THP adalah enjin petrol 1,598cc dengan pengecas turbo skrol berkembar yang menghasilkan 163hp dan tork sebanyak 240Nm (bezanya adalah 308 THP hanya menghasilkan 150hp).

508 GT pula menggunakan enjin turbodiesel dengan sesaran 2,179cc yang memberi output 203hp dan tork 450Nm. Kedua-dua varian dilengkapi kotak gear automatik 6-kelajuan dengan ‘paddle shifter’.
Kelebihan enjin diesel yang dipasang pada 508 GT bukan hanya pada tork yang ada, tetapi juga penjimatan bahan api yang diberikan. Peugeot mendakwa bahawa kadar pembakaran diesel adalah serendah 5.7 liter / 100km, bersamaan 1,300km bagi setiap tangki yang berkapasiti 72 liter (varian petrol juga mempunyai saiz tangki yang sama).

Selain itu, ruang kargo bagi 508 SW THP bermula dari 660 liter dan sehingga 1,865 liter apabila kerusi belakang dilipat. Untuk 508 GT dan 508 THP pula, ia adalah 545 liter. Ia meningkat ke 1,244 liter apabila kerusi belakang dilipat. ‘Tailgate’ varian wagon ini mempunyai fungsi bukaan automatik.
Bahagian dalam dinaiktaraf dengan pemasangan skrin sentuh berukuran 7 inci yang turut dapat memaparkan peta untuk ciri navigasi GPS yang dipasang standard. Selain itu, 508 ini turut mempunyai ‘heads-up display’ yang bukan sahaja menunjukkan kelajuan kenderaan dipandu, tetapi arahan daripada sistem navigasi – kesemuanya tanpa pemandu perlu menoleh daripada memandang ke hadapan.
Antara ciri lain yang juga ada termasuk lampu aktif (memancar ke haluan di mana kereta menuju ketika mengambil selekoh), pendingin udara empat zon serta audio premium JBL dengan 10 pembesar suara dan subwoofer. Sistem audio ini juga boleh menyimpan fail muzik sehingga 8GB, ataupun lebih kurang 2000 lagu.
Untuk keselamatan, semua varian-varian 508 dilengkapi enam beg udara, sistem informasi ‘blind spot’, program stabiliti elektronik (ESP) dan hill start assist.



Harga-harga bagi facelift 508 masih lagi belum disahkan, tetapi ia dijangka akan dijual dengan harga RM175,000 (508 THP), RM185,000 (508 SW) dan RM205,000 bagi varian 508 GT.


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami