PONTIAN: Kerajaan belum bercadang untuk meminda Akta Cukai Pendapatan berhubung pentadbir atau pewaris harta kepada pembayar cukai pendapatan yang sudah meninggal dunia untuk membayar cukai si mati.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan berkata sekiranya pindaan itu tidak dilaksanakan dikhuatiri rakyat akan kurang motivasi dan rasa tanggungjawab untuk membayar cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

"Kita sudah bermesyuarat. Setakat ini kita mengekalkan. Belum ada pindaan apa-apa. (Namun) Kita berpandangan jika tidak dibuat begitu ada pihak tidak bertanggungjawab dan tidak bermotivasi untuk membayar cukai. Dia menunggu dirinya mati kerana apabila mati segala hutang tidak perlu dibayar dan selesailah segala hutang piutang dengan LHDN.

"Perkara itu sudah ada dalam akta dan LHDN memaklumkan jumlah yang dikenakan adalah jumlah pendapatan sehingga kematiannya yang perlu dicukaikan. Waris jika mempunyai keupayaan eloklah membayar cukai," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Raya Penulisan Puisi Johor di sini pada Jumaat.

Pada 11 Mei lepas, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Dr Mohd Nizom Sairi dilaporkan berkata waris bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang komitmen si mati termasuk pengurusan cukai pendapatan.

Seksyen 74 Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) menetapkan sebarang tunggakan cukai pendapatan tidak boleh dihapuskan secara automatik walaupun individu terbabit disahkan meninggal dunia.

Rabu lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dilapor berkata Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) akan bermesyuarat bagi mencari kesepakatan mengenai pembayaran cukai tertunggak individu yang meninggal dunia.

Ini susulan perbezaan pandangan antara dua mufti iaitu Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor dan Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berhubung perkara itu.

-- BERNAMA