KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) menggagalkan cubaan menyeludup 10 tan beras putih dianggar bernilai RM40,000 dari negara jiran selepas menahan sebuah lori di Kampung Banggol Kuin, Pasir Mas, semalam.
Komander Briged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain berkata lori bernombor pendaftaran tempatan dipandu lelaki berusia 37 tahun itu ditahan dalam operasi pada 1.30 pagi selepas dikesan di tepi jalan di kampung berkenaan.
“Pemeriksaan di dalam kenderaan itu menemukan 200 guni beras putih dengan setiap satunya seberat 50 kilogram.
“Hasil soal siasat, lelaki itu memaklumkan dia menerima upah RM200 bagi memandu lori itu berserta muatan beras ke Sungai Buloh, Selangor,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata lelaki itu gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan muatan beras itu manakala kes dirujuk kepada Kawalselia Padi dan Beras Negara (KPBN) Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 20 Akta Kawalselia Padi dan Beras Negara 1994.
“Kejayaan rampasan beras dan lori yang keseluruhannya dianggar bernilai RM190,000 itu hasil pemantauan berterusan Task Force Komander Briged Tenggara bagi membanteras kegiatan penyeludupan beras di kawasan sempadan Kelantan,” katanya.
-- BERNAMA