KUALA LUMPUR: Polis merampas sebanyak 100 kotak minuman keras jenama Royal Dutch yang disyaki tidak bercukai kastam dalam serbuan Op Taring Alpha 2 Intra/Inter di Jalan Berai, Klang, Selangor, pada Selasa.
Dalam operasi pada kira-kira jam 1 tengah hari itu, sepasukan anggota Cawangan Risik Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah serta Unit Ronda Cegah Jenayah (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan melakukan pemeriksaan terhadap dua lelaki yang mencurigakan di kawasan berkenaan.
Komander Batalion 4 PGA, Superintendan Amanjit Singh berkata, pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek berusia lingkungan 41 tahun itu sedang memindahkan sejumlah kotak daripada sebuah lori ke sebuah kereta di lokasi kejadian.
"Kedua-dua suspek terdiri daripada seorang lelaki warga Malaysia dan seorang lelaki warga India.
"Hasil pemeriksaan terhadap dua kenderaan berkenaan menemukan sejumlah kotak yang disyaki mengandungi minuman keras tidak bercukai kastam," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Amanjit berkata, polis turut merampas sebuah lori, sebuah kereta dan sebuah telefon bimbit yang dipercayai berkaitan dengan kegiatan tersebut.
"Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM409,818.
Kesemua suspek dan barang rampasan dibawa ke IPD Klang Selatan untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang termasuk Akta Kastam 1967, Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.