KEPALA BATAS: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara menyerbu sebuah kilang memproses balak haram di kawasan Seberang Perai Utara (SPU), di sini sebelum menahan dua lelaki dan merampas pelbagai kayu balak serta peralatan yang kesemuanya bernilai RM1.863 juta, pada Rabu.
Komander Briged Utara PGA SAC Balveer Singh Mahindar Singh berkata Ops Sawmill itu dijalankan pada 7 pagi oleh pasukan polis Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Pulau Pinang.
Advertisement
"Dalam operasi itu, pihak polis menahan dua lelaki tempatan berusia 38 dan 55 tahun yang dipercayai pekerja di kilang itu, dan pemeriksaan bersama pihak Jabatan Perhutanan negeri mendapati premis tersebut dijadikan lokasi pengumpulan dan pemprosesan kayu balak tanpa kelulusan.
"Hasil pemeriksaan di dalam kawasan kilang mendapati pengusaha telah membeli dan memotong kayu balak tanpa sebarang permit atau kelulusan daripada Jabatan Perhutanan Pulau Pinang," katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Selain itu, hasil semakan mendapati lesen kilang papan, papan lapis, venir dan papan blok yang dimiliki di situ telah tamat tempoh sejak 31 Dis lepas, sekali gus menimbulkan isu ketidakpatuhan terhadap peraturan perhutanan dan perlesenan industri kayu.
Balveer Singh berkata dalam operasi itu, pihaknya merampas mesin memotong dan memproses kayu balak, pelbagai jenis kayu balak, dan sebuah lori.
Kes itu telah diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Pulau Pinang untuk siasatan di bawah Seksyen 68(1) Akta Perhutanan Negara 1984.
-- BERNAMA