KUANTAN: Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan sembilan individu dan merampas aset dan mineral dianggarkan bernilai RM3.75 juta dalam Op Bersepadu Khazanah di sebuah ladang kelapa sawit di Felda Bukit Goh di sini, semalam.
Komander Briged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain berkata operasi dijalankan pada 11.30 pagi itu melibatkan Cawangan Risik Batalion 7 PGA Kuantan bersama Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.
Beliau berkata hasil serbuan di lokasi berkenaan membawa kepada penahanan empat rakyat tempatan dan lima warga asing atas dakwaan melombong mineral disyaki bauksit tanpa lesen.
"Siasatan awal mendapati lima warga asing terbabit gagal mengemukakan permit kerja dan dokumen pengenalan diri yang sah sebelum diserahkan kepada BSJD IPD Kuantan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata empat lelaki tempatan dan barang rampasan diserahkan kepada pihak UPNP untuk siasatan lanjut.
Ahmad Radzi berkata rampasan membabitkan tiga lori dumper, dua jengkaut, dua longgokan tanah yang disyaki mengandungi kira-kira 10,000 tan bauksit serta enam keping dokumen, dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM3.75 juta.
“UPNP turut mengambil sampel tanah untuk dihantar ke Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) bagi analisis, selain membuat sitaan dan pemberhentian serta merta ke atas lokasi dan kesemua jentera tersebut sehingga siasatan lengkap selesai dijalankan,” katanya.
Beliau berkata siasatan awal mendapati tapak berkenaan dimiliki seorang peneroka Felda sebelum dipajak kepada sebuah syarikat sejak Mac lepas bagi kerja pembersihan dan penanaman semula kelapa sawit.
“Aktiviti mengorek tanah di lokasi itu tidak mempunyai lesen atau kelulusan sah daripada pihak berkuasa tempatan dan Kerajaan Negeri Pahang, selain bahan mineral itu dipercayai dihantar ke sebuah kilang pemprosesan di Gebeng sebelum dipasarkan kepada pembeli,” katanya.
Beliau berkata polis sedang mengesan majikan disyaki menggaji warga asing tanpa permit kerja yang sah bagi membantu siasatan.
-- BERNAMA