Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, dengan bajet sekitar RM3 bilion setahun, peruntukan DBKL melebihi negeri terkaya seperti Selangor yang berjumlah RM2.34 bilion.
Bagaimanapun dakwa beliau, kelemahan daripada segi pengawasan undang-undang agensi itu menyebabkan banyak kekurangan dihadapi khususnya dalam aspek pembangunan.
"Banyak cabaran yang dihadapi seperti pembangunan yang terlalu padat dan mutu infrastruktur rendah yang berpunca daripada masalah ini.
"Kerajaan Persekutuan sekarang nampaknya lebih tertumpu kepada melindungi kepentingan golongan tertentu dan bukannya nyawa serta punca mata pencarian rakyat," katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini pada Rabu.
Hadir sama dalam sidang tersebut, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dan pengarah komunikasi parti itu, Lee Chean Chung.
Pada masa yang sama, Nik Nazmi berkata, PH juga akan memastikan masyarakat mengambil bahagian dalam proses demokrasi di peringkat kerajaan tempatan.
Jelasnya, langkah tersebut dapat memberikan impak positif kepada kehidupan mereka.
"Usaha ini akan memastikan semua rakyat Malaysia boleh memilih perwakilan yang lebih dipercayai, inklusif dan mewakili rakyat.
"Bagi Kuala Lumpur, perkara ini penting kerana penduduknya hanya memiliki satu undi iaitu Parlimen sahaja," katanya. -Sinar Harian