KUALA LUMPUR:Pharmaniaga Bhd sudah memulakan langkah pengumpulan maklumat untuk mengedarkan vaksin COVID-19 kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC), swasta, ekspatriat dan pekerja asing di negara ini.

Pengarah Urusannya, Datuk Zulkarnain Md Eusope menjelaskan, pada masa ini pihaknya sedang dalam perbincangan akhir dengan kerajaan untuk pembekalan 12 juta dos vaksin kepada rakyat.

"Kita bekalkan kepada kerajaan 12 juta dos, jadi kita ada lebihan 2 juta. Kerajaan minta kita untuk melihat bagaimana hendak buat bekalan kepada pihak swasta terutama GLC dan ekspatriat.

"Ini bidang yang kita lihat dan kumpul maklumat, apabila sekiranya cukup kita akan bincang dengan kerajaan sekali lagi bagaimana hendak melaksanakan program perbekalan swasta dan ekspatriat," katanya semasa sidang media secara maya pada Selasa.

BACA: Pharmaniaga akan keluarkan vaksin COVID-19 Sinovac bermula Mac 2021

BACA: 
Pharmaniaga akan bekal 12 juta dos vaksin COVID-19 kepada kerajaan

Dalam pada itu katanya, Pharmaniaga menjangkakan pelaksanaan pemberian vaksin dapat diselesaikan dalam masa setahun walaupun kerajaan sebelum ini memberikan tempoh selama 18 bulan untuk isu berkenaan.

Syarikat itu sebelum ini dilaporkan akan memulakan proses pembotolan vaksin COVID-19 pada akhir bulan depan dan mengedarkannya kepada orang ramai pada akhir Mac.

Mereka juga akan melabur kira-kira RM3 juta bagi menaiktaraf kilang suntikan volum kecil (SVI) bagi membolehkannya menjalankan proses pembotolan atau 'fill and finish' vaksin COVID-19.

Pharmaniaga dilaporkan memiliki kapasiti untuk mengeluarkan dua juta dos vaksin COVID-19 yang dibangunkan oleh Sinovac Life Sciences Co Ltd dari China setiap bulan bermula Mac tahun ini.

Vaksin itu akan menjadi yang pertama dikeluarkan di Malaysia di kilang berteknologi tinggi milik anak syarikat milik penuh Pharmaniaga, Pharmaniaga LifeSciences Sdn Bhd, di Puchong.