KUALA LUMPUR: Pengedar tunggal vaksin Sinovac di Malaysia, Pharmaniaga Berhad menerima pratempahan hampir enam juta dos vaksin daripada kerajaan negeri, sebelum proses pengagihan, setakat ini.

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata, pesanan tertinggi diterima daripada Selangor dengan 2.5 juta dos vaksin.

"Selain Selangor antara negeri-negeri yang menunjukkan minat untuk membeli (vaksin) adalah Pahang, Perak, Sarawak, Sabah, Johor dan Negeri Sembilan," katanya dalam sidang media melalui aplikasi Zoom di sini, pada Jumaat.

Zulkarnaian turut menjelaskan, kerajaan negeri bagaimanapun perlu mendapatkan kelulusan daripada Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV) bagi memastikan mereka menepati syarat yang ditetapkan.
BACA SEMUA BERHUBUNG VAKSIN COVID-19 DI SINI


"Kerajaan negeri perlu ada syarikat farmaseutikal serta lesen dan pada masa yang sama mempunyai bilangan doktor dan jururawat terlatih yang mencukupi," katanya lagi.

Ditanya mengenai harga bagi vaksin tersebut, beliau menjelaskan, kerajaan mengambil keputusan untuk menetapkan harga siling dan ia akan diumumkan pada minggu depan.

Dalam pada itu, Zulkarnaian memberitahu, Malaysia merupakan antara enam negara di dunia yang menawarkan perkhidmatan fill and finish bagi vaksin Sinovac.

"Di dunia ini, hanya enam negara sahaja yang diberi kepercayaan untuk membuat fill and finish iaitu Malaysia, Brazil, Indonesia, Turki, Chile dan Mesir," ujarnya.

Katanya, Pharmaniaga bersedia membekalkan vaksin berkenaan kepada negara-negara lain.