KUALA LUMPUR: ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. (ProtectHealth) dan Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengadakan taklimat dan latihan bersama Pengamal Perubatan Swasta (PPS) sebagai persediaan untuk pelaksanaan  Program Imunisasi COVID-19 Kanak-kanak (PICKids) yang bermula pada 3 Februari.

Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth, Datuk Dr Anas Alam Faizli berkata, sesi tersebut melibatkan informasi vaksin COVID-19, garis panduan perubatan serta kaedah pemberian vaksin kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

Jelasnya, ia sebagai inisiatif untuk memastikan PPS di bawah ProtectHealth dapat memberikan perkhidmatan terbaik dalam menjayakan PICKids yang bermula di Lembah Klang.

"Turut terlibat dalam taklimat dan latihan ini juga bagaimana keadah menggunakan 'booking system', dan juga kaedah-kaedah yang perlu diketahui oleh PPS.

"Manakala di Pusat Pemberian Integrasi (PPV) Integrasi pula, kalau kita lihat di PPV WTCKL dan PPV integrasi lain, kita telah menyediakan laluan khas untuk kanak-kanak mendapatkan vaksinasi, dan kita juga membenarkan ibu bapa untuk menemani anak-anak untuk mendapatkan vaksin.

"Kita juga telah menyediakan keperluan kecemasan khas untuk kanak-kanak sekiranya ada kesan sampingan yang berlaku," katanya ketika ditemui Astro AWANI selepas meninjau hari pertama operasi PPV Integrasi WTCKL, di sini pada Khamis.

BACA: 'Walk-in' dos penggalak di PPS, NGO kesihatan bermula esok - ProtectHealth

Mengulas lanjut, Anas berkata selain tiga PPV integrasi yang beroperasi hari ini di Lembah Klang, beberapa PPV offsite akan turut beroperasi pada 5 Februari ini.

Selain PPV Integrasi WTCKL, dua lagi PPV integrasi masing-masing melibatkan Axiata Arena, Bukit Jalil di ibu negara dan Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam.

"Terdapat lebih 28 PPV offsite di mana ibu bapa boleh mendapatkan vaksin untuk anak-anak mereka, dan bermula Isnin (7 Februari) depan pula terdapat beberapa hospital swasta di Lembah Klang untuk ibu bapa mendapatkan vaksinasi bagi anak-anak mereka.

"Bilangan PPV untuk anak-anak ini akan kita kembangkan dari masa ke masa mengikut permintaan," ujarnya lagi.

Dalam masa yang sama, dia memaklumkan ibu bapa atau penjaga yang mahu mendapatkan slot pemberian vaksin di PPV di bawah ProtectHealth, boleh membuat pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera.

Selepas pendaftaran, satu pautan akan diberikan bagi membolehkan ibu bapa atau penjaga memilih PPV dan tarikh janji temu.

Setakat 27 Januari 2022, lebih daripada 63.1 juta dos vaksin telah diberikan dan 51.5 peratus atau 32.4 juta dos disumbangkan oleh PPS dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Kesihatan di bawah ProtectHealth.