Skip to main content

Malaysia

PILA lonjak kapasiti kargo udara wilayah utara, perkukuh Pulau Pinang hab logistik

Putrajaya ,13 Ogos 2026.Menteri Pengangkutan Anthony Loke melakukan gimik perasmian berikutan Kerjasama Strategik diantara Jabatan Pengangkutan Jalan dan Monsta berikutan Majlis Perhimpunan Bulanan dan Pelancaran Bulan Kebangsaan Kementerian Pengangkutan 2026 di Kementerian Pengangkutan.Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Anthony Loke berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan di Putrajaya, pada Khamis.- Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
Advertisement

PUTRAJAYA: Penang International Logistics Aeropark (PILA) dijangka melonjakkan kemudahan serta meningkatkan kapasiti kargo udara di wilayah utara negara secara signifikan, sekali gus memperkukuh kedudukan Pulau Pinang sebagai pusat logistik udara utama.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, projek itu merupakan peluasan kepada hab kargo udara Pulau Pinang sedia ada dan akan menyediakan kapasiti yang jauh lebih besar bagi memenuhi permintaan sektor logistik dan kargo udara yang semakin berkembang.

Beliau berkata, projek berkenaan dilaksanakan menerusi kerjasama antara Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), dengan majlis pelancarannya dijangka disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.

"Kami akan melancarkannya tidak lama lagi. Pembinaannya telah pun bermula dan kami telah menjemput Perdana Menteri untuk melancarkan projek antara MAHB dan PDC ini.

"Ia terletak bersebelahan hab kargo Pulau Pinang sedia ada dan merupakan satu lagi fasa peluasan yang akan menjadikannya kompleks logistik udara Pulau Pinang. 

"Ia akan menjadi lebih besar dengan peningkatan kapasiti yang ketara, sekali gus meningkatkan kemudahan kargo udara di wilayah utara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan yang turut disekalikan dengan sambutan Hari Kebangsaan peringkat kementerian, di sini, pada Khamis.

Loke berkata, pembangunan PILA adalah sebahagian daripada rancangan MAHB untuk menaik taraf kemudahan kargo udara di seluruh negara, bukan sahaja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malah turut melibatkan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Menurut beliau, kerajaan berperanan sebagai pemudah cara dalam pelaksanaan projek berkenaan, manakala pelaburan bagi pembangunan hab kargo udara itu dilaksanakan sepenuhnya oleh MAHB.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pembangunan kompleks logistik udara itu merupakan sebahagian daripada usaha kementerian untuk memperkukuh infrastruktur kargo udara di hab-hab serantau.

Katanya, langkah itu penting bagi menyokong peluasan koridor udara untuk produk bernilai tinggi serta meningkatkan kecekapan rantaian bekalan dan daya saing negara dalam sektor logistik udara.

Must Watch Video

Advertisement