ARAU: Pindaan Akta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan 1965 (Pindaan 2022) (Akta 141) yang diwartakan pada 6 Sept, memberi kuasa kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), memainkan peranan dalam pengedaran komoditi ternakan.

Ketua Pengarah FAMA Datuk Zainal Abidin Yang Razalli berkata melalui pindaan berkenaan juga, akan memberi peluang kepada penternak untuk memasarkan produk ternakan mereka, melalui agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) itu.

"Sejak Akta Lembaga Kemajuan Ternakan Negara dibubarkan pada 1983, tiada mana-mana agensi mengambil alih peranan tersebut (pemasaran ternakan). Sebagai contoh, ketika pandemik COVID-19 melanda negara, terdapat beberapa pasaran komoditi ternakan negara terjejas.

"Antara komoditi ternakan yang terjejas ialah pasaran ayam kampung dan burung puyuh. Jadi menerusi pindaan ini (Akta 141), membolehkan elemen ternakan diberikan kepada FAMA untuk membantu penternak memasarkan produk mereka," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Zainal Abidin berkata demikian selepas merasmikan penutupan Kursus 'New Breed Marketing Enterpreneur' (NBME) di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Perlis yang disertai 350 orang pelajar dan kakitangan institusi berkenaan.

Turut hadir, Pengarah PTSS Abdul Malek Hassan dan Pengarah FAMA Perlis Mohd Sharizan Mansor.

Terdahulu, Zainal Abidin turut melancarkan K-Shoppe dan kafe Kopi Kampus di PTSS.

-- BERNAMA