KUCHING: Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Persekutuan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) disifatkan sinar di hujung terowong buat Sarawak.

Pengasas Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS), Wellie Henry Majang berkata DTTAS menyeru semua Ahli Parlimen tanpa mengira perbezaan fahaman politik bersatu hati menyokong pindaan RUU itu demi kesejahteraan rakyat selepas 58 tahun pembentukan Malaysia.

"Sudah tiba masanya negara Malaysia ini melangkah ke hadapan dan salah satu perkara yang harus diberi perhatian adalah untuk memperbetulkan semula MA63.

"Oleh yang demikian, untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi pembentukan Malaysia wajar dimulakan melalui pembentangan Rang Undang- Undang (RUU) Pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan,” tegasnya dalam satu kenyataan pada Isnin.

BACA: Perjuangan kembalikan semangat MA63 perkukuhkan hak Sarawak - Abang Jo

BACA: MA63: Sabah harap tuntutan diambil kira dalam RUU pinda Perlembagaan

Wellie berkata Perkara 1, klausa (2) yang asal telah dipersetujui pada 9hb Julai 1963 mesti dikembalikan kerana terdapat satu pengkelasan yang jelas mengenai wilayah-wilayah yang membentuk persekutuan Malaysia.

Pandangan beliau, pindaan itu memenuhi hasrat dan tujuan iaitu memberi pengiktirafan bahawa Sabah dan Sarawak bukan hanya negeri setara dengan mana-mana negeri di Semenanjung Malaysia, tetapi memulihkan statusnya sebagai rakan kongsi dalam pembentukan Malaysia.

Tambahnya, bagi usul Pindaan Perlembagaan Persekutuan istilah ‘pribumi’ di bawah Perkara 161A pula, ia akan memberi kuasa kepada Kerajaan Sarawak untuk menentukan bumiputera di negeri ini.

“Pindaan Perlembagaan istilah pribumi di bawah Perkara 161A amat penting kerana definisi ketika ini adalah terhad dan tidak secara tepat menggambarkan perbezaan kumpulan-kumpulan anak negeri di Sarawak.

“Signifikannya juga pindaan definisi pribumi merupakan satu pengiktirafan kepada kaum-kaum yang ada di Sarawak kerana sehingga kini mereka dianggap sebagai kategori lain-lain.

BACA: Majlis MA63 setuju dengan cadangan pindaan kembalikan status Sabah, Sarawak sebagai rakan sekutu - Maximus

“Adalah sukar untuk untuk kategorikan seseorang kepada istilah ‘orang lain’ atau ‘lain-lain’ di negara ini kerana biasanya terdapat kategori kaum dalam dokumen rasmi,” ujar Wellie.

Beliau turut berharap hak-hak dan kuasa-kuasa autonomi yang diperuntukkan khas kepada wilayah Sabah dan Sarawak hendaklah sentiasa dipelihara malah ditambah baik selaras dengan perkara-perkara yang telah dipersetujui semasa pembentukan Malaysia satu Ketika dahulu.

“Prinsip dan asas persekutuan telah dimeterai untuk menyatupadukan kepelbagaian dalam kalangan ketiga-tiga entiti ini menggabungkan Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur. Kita juga menaruh harapan yang amat tinggi untuk melihat Malaysia yang adil, saksama dan bersatu padu,” katanya. 


MA63 | RUU berkaitan dibentang 26 Oktober ini