Skip to main content

Malaysia

Pintas Utama pulih cerun Lojing–Gua Musang, laluan kini lebih selamat

GUA MUSANG, 16 Julai -- Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (tiga, kiri) menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Pintas Utama Datuk Marhalim Mohamed (dua, kiri) menyampaikan perakuan siap kerja pembaikan cerun menggunakan kaedah “Sabo Dam” serta kerja-kerja berkaitan kepada Pengarah Kejuruteraan Cerun Jabatan Kerja Raya Ir Mohd Shaifuddin Abdul Razak (kanan) pada Majlis Penyerahan Projek Pembaikan Cerun di Laluan FT185 Seksyen 61.00, Jalan Loging - Gua Musang di Loging hari ini.  --fotoBERNAMA
Nanta (tiga, kiri) menyaksikan Marhalim (dua, kiri) menyampaikan perakuan siap kerja pembaikan cerun menggunakan kaedah 'Sabo Dam' serta kerja-kerja berkaitan kepada Pengarah Kejuruteraan Cerun Jabatan Kerja Raya Ir Mohd Shaifuddin Abdul Razak (kanan) pada Majlis Penyerahan Projek Pembaikan Cerun di Laluan FT185 Seksyen 61.00, Jalan Lojing - Gua Musang, Gua Musang, 16 Julai 2026. --fotoBERNAMA
Advertisement

GUA MUSANG: Projek pemulihan cerun menggunakan sistem Sabo Dam dan debris barrier di FT185 Seksyen 61.00 Jalan Lojing–Gua Musang berjaya meningkatkan tahap keselamatan laluan strategik itu yang sebelum ini terputus akibat kejadian tanah runtuh dan aliran puing susulan hujan lebat pada 2021.

Laluan berkenaan sebelum ini mengalami kerosakan apabila runtuhan tanah dari lereng bukit menimbus kedua-dua arah jalan sepanjang kira-kira 1.5 kilometer sehingga memaksa penutupan sepenuhnya kepada semua kenderaan.

Penilaian teknikal mendapati bentuk muka bumi di kawasan lembah antara dua cerun serta litupan tumbuhan yang terhad meningkatkan risiko berlakunya aliran puing ketika hujan lebat, sekali gus menjejaskan kestabilan cerun di kawasan berkenaan.

Bagi menangani risiko itu, syarikat Pintas Utama melaksanakan penyelesaian kejuruteraan menyeluruh menerusi pembinaan Sabo Dam dan debris barrier sebagai sistem kawalan serta perlindungan berlapis bagi mengurangkan impak aliran puing terhadap struktur jalan.

Ketua Pegawai Eksekutif Pintas Utama Datuk Marhalim Mohamed berkata Sabo Dam berfungsi mengawal pergerakan dan mengurangkan tenaga aliran dari kawasan hulu, manakala debris barrier bertindak memerangkap batu, kayu dan bahan puing sebelum menghampiri serta menjejaskan struktur jalan raya.

Beliau berkata laluan FT185 ialah jaringan perhubungan penting yang menghubungkan Gua Musang dan Lojing dengan koridor Cameron Highlands serta Simpang Pulai, Perak, sekali gus menyokong pergerakan penduduk, hasil pertanian, aktiviti perdagangan dan sektor pelancongan antara Kelantan, Pahang dan Perak.

“Pendekatan itu bukan sahaja bertujuan memulihkan kawasan terjejas, malah memperkukuh perlindungan infrastruktur jalan raya sebagai usaha memastikan kelancaran jaringan sosioekonomi setempat dengan mengurangkan risiko penutupan jalan berpanjangan yang boleh meningkatkan tempoh serta kos perjalanan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Terdahulu, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengadakan lawatan ke tapak cerun siap sebelum menyaksikan majlis penyerahan projek oleh Pintas Utama kepada Cawangan Kejuruteraan Cerun, Jabatan Kerja Raya (JKR), seterusnya kepada Kementerian Kerja Raya (KKR). 

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Kerja Raya Datuk Ibrahim Esa bersama-sama kepimpinan tertinggi serta pegawai teknikal kementerian dan JKR.

Marhalim berkata kejayaan pelaksanaan projek itu membuktikan bahawa penyelesaian kejuruteraan yang tepat bukan sahaja mampu menangani risiko cerun, malah memainkan peranan penting dalam melindungi keselamatan pengguna serta memperkukuh daya tahan infrastruktur negara.

Seiring dengan komitmen kerajaan dan KKR khususnya, Pintas Utama akan terus mendukung usaha memperkukuh keselamatan dan daya tahan infrastruktur negara menerusi penyelesaian kejuruteraan cerun secara menyeluruh bagi memastikan kepentingan serta keselamatan rakyat terus menjadi keutamaan.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement