SERI KEMBANGAN: Sebanyak 20 aktivis dari Malaysia akan menyertai pelayaran misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) yang dijangka berlepas dari Istanbul, Turkiye pada hujung bulan ini.

Pengerusi Humanitarian Care Malaysia (MyCare) Datuk Seri Dr Kamal Nashruddin Mustapha berkata kesemua mereka akan menyertai aktivis dari 30 negara berkumpul di Istanbul pada 18 April sebagai persiapan akhir misi yang dinamakan Break the Seige of Gaza Freedom Flotilla itu.

"Tiga kapal dijangka belayar pada 28 April terdiri daripada satu kapal kargo 5,000 tan dan dua kapal penumpang yang boleh memuatkan 1,000 orang.

"Kapal-kapal ini akan membawa bantuan kemanusiaan yang mendesak seperti bantuan perubatan, pek makanan, pakaian, khemah perlindungan dan beberapa kenderaan termasuk lapan ambulans," katanya pada sidang media di ibu pejabat MyCare di sini hari ini.

Beliau berkata 20 aktivis Malaysia yang terpilih menyertai misi itu terdiri daripada pengamal media, doktor dan aktivis kemanusiaan.

Seorang daripada peserta Dr Fauziah Hassan berharap misi tersebut akan berjaya mencapai matlamatnya untuk mengurangkan beban ditanggung oleh penduduk Gaza.

"Kita berdoa sangat supaya diberi keselamatan dan juga semua bantuan yang kami bawa sampai ke Gaza kerana itulah pengharapan mereka kerana barang-barang yang dibawa memang keperluan mereka pada masa ini," katanya yang telah tiga kali menyertai misi kemanusiaan ke Gaza.

Sementara itu, wartawan Bernama TV Muhammad Hafizuddin Mohd Yusof berkata peluang yang diberikan untuk menyertai misi kemanusiaan tersebut akan digunakan sebaik mungkin bagi memberikan gambaran sebenar tentang situasi penduduk Gaza yang ditekan oleh rejim Israel.

"Peluang ke Gaza ini tak semua orang dapat, bila dah tengok apa yang berlaku ini saya nak tonjolkan situasi di Gaza ketika ini. Sebelum ini bantuan dihantar melalui udara, tetapi sekarang ini kita nak cuba hantar secara langsung kepada mereka. Kita nak tengok macam mana suasana di sana.

"Kerisauan kami adalah bagaimana untuk menyampaikan keadaan dan suasana di sana untuk tatapan umum," katanya.

Muhammad Hafizuddin dan jurukamera Mohammad Nulhakim Jailan akan mewakili Bernama menyertai misi kali ini, yang juga merupakan satu daripada rakan media rasmi.

-- BERNAMA