GEORGE TOWN: Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) meminta kerajaan mempercepatkan pelaksanaan klausa Pengiraan Perubahan Harga (VOP) bagi meringankan beban kontraktor di negara ini yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Presidennya, Datuk Seri Mohamed Fadzill Hassan berkata, sekiranya VOP dilaksanakan dalam tempoh terdekat, secara tidak langsung dapat menyelamatkan kontraktor kecil Bumiputera untuk bertahan dalam industri.

Mohamed Fadzil berkata, secara dasarnya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah menyatakan persetujuan namun pihaknya masih menunggu bilakah perkara itu akan dilaksanakan.

Bahkan, dalam pertemuan dengan Muhyiddin juga, Mohamed Fadzill berkata, PKMM sudah menyarankan sekiranya VOP dilaksanakan akan memberi manfaat kepada banyak pihak.

Pelaksanaan VOP turut mendapat sokongan daripada Lembaga Pembangunan Industri Binaan (CIDB), jelas Mohamed Fadzill.

Beliau berkata, sejak pandemik COVID-19 melanda, ramai golongan kontraktor kelas G1 dan G2 terkesan susulan kekurangan projek sebanyak 30 peratus.

Malah kontraktor juga perlu berdepan dengan kenaikan harga bahan binaan seperti besi, simen , batu bata serta pasir.

“PKMM sarankan kepada Perdana Menteri dan beliau prihatin mengenai masalah yang sedang kontraktor hadapi dan secara lisan setuju VOP diberikan. Jadi, sekarang kita harap secepat mungkin dilaksanakan VOP supaya  meringankan beban kontraktor,” kata beliau.

Mohamed Fadzill berkata demikian kepada wartawan selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri  di Balik Pulau, di sini pada Rabu.

Seramai 30 orang asnaf, ibu tunggal dan orang kelainan upaya (OKU) menerima sumbangan daripada PKMM sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.

Sementara itu, Mohamed Fadzill menambah, antara sebab kenaikan harga bahan binaan adalah kerana penutupan operasi kuari khususnya di Pulau Pinang  sehingga memberi kesan dalam penawaran dan permintaan terhadap sumber tersebut.

Dalam pada itu, beliau turut menyambut baik saranan CIDB pada 3 Mei lalu yang mencadangkan satu klausa VOP diperuntukan kepada projek pembinaan kerajaan bagi mengurangkan beban kontraktor yang terjejas akibat kenaikan harga bahan binaan ketika ini.

Kaedah VOP adalah indeks bagi mengukur kadar purata harga 14 bahan binaan terpilih bagi enam kategori kawasan di Semenanjung meliputi besi, batu bata, kaca, batu baur, bahan siling, bahan bumbung, kayu, papan lapis, kelengkapan kebersihan, jubin, paip, pasir, cat dan cerucuk.