Walaupun dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu, kebajikan dan keselamatan sekitar 3,000 pelajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Gombak, tetap terjaga.

Presiden Kesatuan Pelajar UIAM, Amir Nadzim Kaharudin berkata, pihak universiti menyediakan makan sebanyak tiga kali, selain barang keperluan asas pelajar seperti makanan kering, untuk pelajar yang masih tinggal di asrama ketika ini, termasuk pelajar antarabangsa.

“Seawal PKP ini dilaksanakan, Kesatuan Pelajar dengan kerjasama Pejabat Timbalan Rektor (Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti) telah menubuhkan jawatankuasa khas pelajar bagi tujuan tugasan menjaga kebajikan mahasiswa serta operasi bantuan.

“Mereka bertanggungjawab menguruskan segala sumbangan atau bantuan yang diberikan oleh kementerian dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) selain menyampaikan bantuan kewangan kepada pelajar yang memerlukan,” katanya kepada Astro AWANI ketika dihubungi hari ini.

Dalam pada itu, Amir berkata inisiatif lain turut dijalankan, antaranya termasuk tinjauan berkala oleh Jabatan Kaunseling bagi memastikan tahap kesihatan mental para pelajar sepanjang tempoh PKP ini.

Diminta mengulas mengenai sesi pembelajaran, Amir memaklumkan pihak pengurusan pada Mac lalu bersetuju menangguhkan semester selepas mengambil kira beberapa faktor seperti kesediaan pelajar menghadapi pembelajaran atas talian.

“Kami ada melakukan tinjauan dan mendapati peratusan kesediaan pelajar untuk menghadapi pembelajaran atas talian tidak begitu tinggi terutama apabila melihat faktor akses kepada internet yang berbeza-beza.

“Jadi, pihak pengurusan universiti membuat keputusan untuk menyambung semula semua sesi kuliah dan aktiviti akademik pada semester ini bermula 1 Jun nanti,” katanya.

BACA: PKP: Panduan pembelajaran komprehensif perlu dibekalkan kepada ibu bapa

Khamis lalu, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad mengumumkan bahawa bekalan makanan di kampus masih mencukupi selepas mengadakan kunjungan ke Yayasan Food Bank Malaysia.

Beliau juga memberi jaminan kementeriannya akan meneliti kaedah terbaik menghantar pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang berada di kampus untuk pulang ke rumah masing-masing.

BACA: COVID-19: KPT akan kaji mekanisme bawa pelajar IPT pulang - Noraini Ahmad



BACA: COVID-19: UIAM berjaya kutip RM105,000 dalam masa tiga hari