Kerajaan akan membenarkan Perusahaan kecil dan sederhana (IKS) kembali beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu akan diumumkan sebaik sahaja prosedur operasi standard (SOP) dimuktamadkan tidak lama lagi.

"Insya-Allah tunggu pengumuman nanti kerana antara kelonggaran-kelonggaran yang akan diberi adalah syarikat-syarikat kecil juga akan dibenarkan beroperasi. Tetapi tunggu pengumuman yang akan kita buat nanti berserta SOP-SOP yang berkaitan," katanya dalam sidang media harian, di sini pada Khamis.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata keputusan untuk membenarkan dua orang dari sebuah rumah keluar untuk membeli barangan keperluan dibuat selepas kerajaan mengambil kira rungutan yang dihadapi rakyat, selain penurunan kes positif COVID-19.

Bagaimanapun kata beliau, pihaknya menggesa agar rakyat terus mengamalkan penjarakan sosial ketika berada di premis jualan termasuk pasar raya.

Selain itu, ujarnya pengusaha pasar raya perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) agar tidak berlaku kesesakan di dalam premis perniagaan mereka.

"Daripada segi kesesakan, seperti saya lihat di pasar raya sebagai contoh, mereka mengikut SOP yang kita keluarkan iaitu mengenai penjarakan sosial dan jumlah pelanggan yang berada dalam pasar raya.

"Saya percaya walaupun ada peningkatan sedikit kerana dua (orang) yang keluar, saya percaya SOP itu mereka akan terus kekalkan supaya tidak berlaku kesesakan," katanya.

Beliau berkata, suami dinasihatkan untuk menunggu di dalam kereta dan tidak memasuki pasar raya bersama isteri bagi mengelakkan kesesakan.

"Apabila kerajaan menetapkan satu individu dalam satu kenderaan pada fasa PKP sebelumnya, kita menerima banyak maklum balas antaranya isteri tidak boleh memandu dan masalah tempat letak kereta.

"Apabila ke pasar raya, suami mungkin boleh menunggu di dalam kereta untuk mengelakkan kesesakan dan beratur lebih panjang," katanya.