KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) membenarkan solat Jumaat, fardu dan solat tarawih diadakan di masjid dan surau di tujuh daerah di negeri ini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula tengah malam ini sehingga tamat PKP.

Yang Dipertua MAIK Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata akiviti solat Jumaat, fardu, sunat tarawih dan Qiamullail di masjid negeri, bandar dan jajahan dibenarkan dengan kehadiran 70 peratus daripada kapasiti ruang masjid.

"Kebenaran solat fardu, tarawih dan Jumaat serta aktiviti pengimarahan masjid di tujuh daerah iaitu Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Tanah Merah, Pasir Puteh, Machang dan Bachok telah mendapat perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Beliau yang juga Tengku Temenggong Kelantan berkata, bagi masjid mukim, surau dan musolla pula dibenarkan dengan kehadiran 50 peratus bilangan jemaah mengikut kapasiti sebenar masjid, surau dan musalla.

"Pelaksanaan berkenaan perlu mengambil kira penjarakan fizikal satu meter antara jemaah dan boleh dilaksanakan dengan lapan rakaat dengan surah atau ayat pendek dalam tempoh tidak lebih 45 minit, tidak termasuk solat Isyak," katanya.

BACA: 7 daerah di Kelantan dikenakan PKP - Ismail Sabri

Mohamad Rizam berkata tazkirah tidak dibenarkan sepanjang pelaksanaan solat sunat tarawih, manakala tazkirah Subuh, Asar dan lain-lain termasuk aktiviti tadarus al-Quran adalah dibenarkan mengikut kapasiti yang telah ditetapkan dengan tidak melebihi tempoh 45 minit.

"Jamuan berbuka puasa, bersahur dan moreh tidak dibenarkan, bagaimanapun masjid, surau dan musolla boleh menyediakan menu berbuka, bersahur serta moreh secara bungkus dan diagihkan kepada jemaah untuk dibawa pulang.

"Selain itu, tidak dibenarkan untuk mendapatkan khidmat imam untuk solat tarawih dan penceramah untuk program Ihya Ramadan daripada luar negeri Kelantan," katanya.

Beliau berkata, jemaah juga digalakkan untuk mengambil wuduk di rumah masing-masing dan bagi jajahan tidak terbabit PKP seperti Gua Musang, Kuala Krai dan Jeli adalah sebagaimana prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan sebelum ini.

"MAIK amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak terutama umat Islam secara amnya dalam melaksanakan ketetapan ini dan SOP sebagaimana yang ditetapkan hendaklah dipatuhi sepenuhnya oleh pihak pengurusan masjid, surau dan musolla," katanya.

-- BERNAMA