APABILA kerajaan mengumumkan sekatan total lebih seminggu yang lalu ramai menyambut dengan perasaan bercampur aduk.

Sebab kepada sentimen ini ada sebabnya. Ramai yang bimbang akan punca sara hidup.

Pelbagai persoalan bermain dalam fikiran rakyat. Kita tidak dapat menolak keadaan itu.

Susulan pelaksanaan sekatan menyeluruh, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengumumkan sumbangan barisan Kabinet dalam bentuk potongan gaji untuk dana bencana ekoran pandemik COVID-19.

Langkah itu disusuli beberapa kerajaan negeri bagi meringankan beban kewangan, secara langsung boleh membantu rakyat yang memerlukan.

Kita menyambut baik langkah itu. Bagaimanapun ia belum cukup dalam menangani bebas hidup yang dialami rakyat dan akan dihadapi dalam beberapa bulan akan datang.

Bagi menyahut seruan kerajaan dan pelbagai pihak, pada masa yang sama, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NG) turut mengambil langkah yang sama ketika ramai berhadapan dengan situasi yang sukar ekoran sekatan total, yang turut membawa kepada kehilangan atau penurunan pendapatan seisi rumah.

Saya yakin bahawa sikap komuniti yang peduli lingkungan dapat meringankan beban individu-individu yang terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 kali ini.

Dalam menghadapi PKP 3.0 ini, komuniti setempat bukan sahaja perlu cakna terhadap persekitaran daripada sudut kesihatan, tetapi juga perlu mengambil peduli tentang kebajikan dalam kalangan masyarakat setempat.

Mengambil pendekatan sedemikian, Majlis Belia Negeri Selangor (MBS) juga telah melancarkan tabung kutipan yang dinamakan misi 10For10, yang menyasarkan kutipan sebanyak RM10 daripada warga negeri Selangor yang berkemampuan.

Misi 10for10 ini adalah sinonim dengan angka 10 yang merupakan kod bagi anak kelahiran negeri Selangor di dalam sistem Jabatan Pendaftaran Negara.

Belia negeri Selangor terpanggil untuk menjalankan inisiatif ini untuk memastikan individu yang terkesan dengan PKP 3.0 di Selangor dapat dibantu dengan keperluan asas serta dapat meringankan sedikit beban yang dihadapi.

Selaras dengan moto Anak Muda Sayang Selangor, MBS melalui Badan-Badan Gabungan dan Majlis-Majlis Belia Daerah akan mengenal pasti individu yang memerlukan bantuan di dalam negeri Selangor.

Walaupun Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri telah pun mengumumkan pelbagai bantuan untuk meringankan beban masyarakat semasa PKP, MBS berpendapat inisiatif yang dibuat ini adalah perlu memandangkan keperluan masyarakat yang terjejas adalah bebeza.

Walaupun kerajaan sudah membantu apa yang termampu, semestinya ada individu atau keluarga yang perlu dibantu lebih daripada itu.

Bantuan yang diberikan oleh MBS ini juga adalah lebih bersifat 'ad-hoc', bersasar dan melengkapi bantuan-bantuan lain yang telah diberikan oleh pihak berwajib.

Konsep perpaduan komuniti setempat dalam menghadapi PKP ini dapat mewujudkan satu keadaan harmoni dan memudahkan lagi misi untuk memutuskan rantaian COVID-19 ini.

Jika komuniti setempat dapat berganding bahu dalam membantu masyarakat sekeliling, setidak-tidaknya banyak perkara terutama isu kebajikan dapat diselesaikan dengan lebih cepat.

Ini bukanlah masa untuk menuding jari kepada mana-mana pihak dan masyarakat seharusnya mengambil pekara ini sebagai satu tanggungjawab bersama.

MBS bersedia untuk menggerakan ahli-ahli di seluruh daerah Selangor untuk menjayakan misi ini.

Apa yang diharapkan adalah sumbangan warga Selangor yang berkemampuan sebanyak mungkin bagi memastikan ia dapat dinikmati oleh lebih ramai golongan yang memerlukan.

Sumbangan daripada syarikat dan badan korporat juga adalah dialu-alukan. Seratus peratus daripada hasil sumbangan akan terus disalurkan kepada mereka yang memerlukan.

Bagi sebarang pertanyaan lanjut berhubung misi ini, atau terdapat maklumat-maklumat yang ingin disalurkan berkenaan golongan terjejas akibat PKP 3.0 di negeri Selangor, orang ramai boleh terus hubungi MBS.

Saya yakin bahawa setiap sumbangan daripada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan akan membantu kerajaan dalam membantu rakyat yang memerlukan sepanjang persekitaran sukar yang diakibatkan oleh pandemik COVID-19.

Saya juga yakin bahawa usaha seperti ini akan diteruskan meskipun selepas kita bebas daripada COVID-19.

Kerajaan sahaja tidak boleh menyediakan bantuan yang diperlukan oleh rakyat.

Gandingan antara kerajaan dan badan-badan bukan kerjaaan akan melengkakan kitaran membantu rakyat, tidak kira agama dan kaum serta latar belakang.

MBS akan meneruskan inisiatif sikap komuniti yang peduli lingkungan ini untuk memastikan tiada sesiapapun tercicir daripada kemakmuran negara. Biar kita berkongsi kemakmuran negara.



* Khairul Anwar Ahmad Nadzer merupakan Ketua Penerangan Majlis Belia Negeri Selangor (MBS).

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.