KUALA LUMPUR: Sempena kedatangan Aidilfitri, syarikat-syarikat telekomunikasi tempatan telah bersepakat untuk menyediakan panggilan percuma ke semua rangkaian dalam negara.

Panggilan percuma ini akan bermula pada 10 malam 12 Mei hingga 10 pagi 13 Mei iaitu hari pertama Hari Raya Aidilfitri.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah menjelaskan kemudahan yang digerakkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dapat dinikmati oleh semua pelanggan 10 syarikat telekomunkasi tempatan.

Antara syarikat telekomunikasi tersebut adalah Maxis, TM Unifi, Celcom, Digi, REDtone, TIME dotCom, Tune Talk, U Mobile, Yoodo dan YTL.

Saifuddin juga memaklumkan setiap penyedia perkhidmatan akan memberikan tawaran panggilan percuma ini tertakluk kepada terma dan syarat masing-masing.

"Setiap penyedia perkhidmatan akan memberikan tawaran panggilan percuma ini tertakluk kepada terma dan syarat masing-masing.

"Para pelanggan dinasihati untuk menghubungi penyedia perkhidmatan masing-masing bagi sebarang pertanyaan tentang tawaran perkhidmatan ini," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Saifuddin berharap kemudahan ini dapat membantu rakyat negara ini saling berhubung dan mengeratkan silaturahim biarpun aktiviti ziarah tidak dibenarkan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).