KUALA LUMPUR:Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di hampir semua negeri di Semenanjung kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan dilaksanakan bermula hari ini hingga 6 Disember.

Negeri yang terbabit ialah Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Terengganu.

Pelaksanaan PKPB ini juga akan meliputi Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Sabah yang sepatutnya berakhir 9 November ini.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, langkah itu diputuskan dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) selepas mendengar pembentangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung kes COVID-19 di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Terengganu.

KKM sudah melaksanakan penilaian risiko dan mendapati terdapat peningkatan ketara bilangan jangkitan COVID-19 dan kadar kebolehjangkitan di negeri berkenaan.

Prosedur Operasi Standard (SOP) adalah sama seperti diumum dan dilaksanakan dalam pkpb sebelum ini.

Pada masa yang sama, Kementerian Pendidikan turut mengumumkan penutupan sekolah bermula hari ini hingga hari terakhir persekolahan tahun ini.

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin, berkata sekolah di Pahang, Kelantan, Perlis dan Sarawak yang tidak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) juga ditutup hingga akhir tahun.

Beliau berkata, penutupan sekolah mengambil kira sejumlah besar, iaitu kira-kira 74 peratus sekolah berada dalam negeri PKPB.

Dr Radzi berkata keputusan dan pendekatan yang diambil kementerian pendidikan sentiasa mengutamakan aspek keselamatan dan kesihatan semua murid, guru, pensyarah dan warga kementerian.

Katanya, sepanjang penutupan sekolah, sesi pengajaran dan pembelajaran akan diteruskan di rumah, mengikut kesesuaian guru dan murid.