KUALA LUMPUR:Kerajaan Negeri Selangor terkejut dengan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang mengisytiharkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pengumuman berkenaan agak mengejutkan kerana keputusan mesyuarat MKN pada Isnin hanya menunjukkan Klang, Gombak, Hulu Langat dan sebahagian Petaling yang mempunyai bilangan kes yang membimbangkan.

"Kerajaan negeri berpandangan bahawa beberapa kawasan yang masih dikategorikan zon hijau dan kuning seperti Sabak Bernam dan Kuala Selangor adalah masih terkawal.

"Oleh itu, kerajaan negeri akan menghantar cadangan balas kepada pihak MKN dengan segera agar dapat diberi pertimbangan semula,"  jelas Amirudin dalam kenyataan pada Isnin.

Katanya, Selangor bakal mengemukakan beberapa cadangan kepada MKN untuk pertimbangan majlis berkenaan.

Terdahulu, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPB di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor berkuat kuasa pukul 12.01 tengah malam, 14 Oktober dan dijadual berakhir pada 27 Oktober.


BACA: Fahami maksud, perbezaan PKPB antara Sabah, Selangor, KL dan Putrajaya