KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini mengumumkan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di enam lokaliti sementara tiga lagi lokaliti baharu diumumkan.       

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penamatan PKPD membabitkan dua lokaliti di Kuala Lumpur, dua lokaliti di Sabah, dan masing-masing satu di Kelantan dan Terengganu.

Dua lokaliti di Kuala Lumpur ialah PPR Pantai Ria dan Taman Bukit Angkasa, manakala dua lokaliti di Sabah ialah Kampung Jaya Baru, Kunak dan Kampung Balung Cocos, Tawau.

Lokaliti di Terengganu ialah Kampung Kubang Jela, Manir manakala di Kelantan ialah Taman Merbau Utama, Mukim Bukit Jawa, Pasir Puteh.

Sementara itu, tiga lokaliti baharu yang diumum PKPD bermula 15 sehingga 28 Julai adalah PPR Lintas Sibuga, Sandakan serta Kampung Telaga dan Kampung Pituru di Sabah, selain Felda Jengka 8, Jerantut, Pahang.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri turut memaklumkan sebanyak 2,285 buah kilang, 16,822 premis perniagaan, 1,015 tapak pembinaan dan 456 buah asrama penempatan pekerja diperiksa oleh Task Force Operasi Pematuhan, semalam.

"Hasil daripada pemeriksaan tersebut, sebanyak 67 premis meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan," katanya dalam kenyataan media harian, hari ini.

Seramai 416 individu pula ditahan atas kesalahan ingkar SOP dengan 372 individu dikompaun manakala 44 lagi direman.