KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini mengumumkan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 12 lokaliti sementara tiga lokaliti baharu diumum dan dua lagi dilanjutkan pelaksanaannya.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD ditamatkan di empat kawasan di Mukim Tenglu, Mersing, Johor iaitu Kampung Tanjung Genting, Kampung Benaung, Kampung Makam dan Kampung Sawah Datok.

Sementara lima lokaliti di Taman Perumahan di Mentakab, Pahang ialah Taman Bukit Bendera, Taman Rimba, Taman Sri Layang, Taman Saga dan Taman Saga Indah.

Selain dari itu, penamatan PKPD turut diumum di Ladang Brumas, Kalabakan, Kampung Pulutan, Nabawan, dam Taman Wijaya Park, Kota Kinabalu, Sabah.

Dalam pada itu jelasnya, tiga lokaliti baharu yang diumum PKPD bermula 6 sehingga 19 Julai adalah Kuarters Ladang Lepan Kabu (A & B) dan sebahagian kawasan Kampung Pahi (kawasan bersempadan dengan Kuarters Ladang Lepan Kabu), Kuala Krai, Kelantan, Kampung Jambatan Baru, Membakut, Beaufort dan Blok 6, Kampung Titingan, Tawau, Sabah.

Dua lagi lokaliti yang dilanjutkan PKPD bermula 6  sehingga 19 Julai 2021 pula adalah di Kampung Jaya Baru, Kunak dan Kampung Serudung Baru, Tawau, Sabah.

Sementara itu jelas Ismail Sabri, pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah melakukan 5,785 pemeriksaan ke atas kilang, 15,388 premis perniagaan, 569 tapak pembinaan dan 297 asrama penempatan pekerja pada Sabtu.

Daripada jumlah itu, empat kilang dan 20 premis diarahkan tutup kerana didapati melanggar arahan kerajaan dan SOP.

Sehingga Sabtu katanya, secara kumulatifnya sebanyak 151,773 premis peniagaan telah diperiksa melibatkan kilang (25,970), tapak pembinaan (1,847) dan asrama penempatan pekerja (812).

Dalam pada itu katanya, seramai 691 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP pada Jumaat.

Daripada jumlah itu, seramai 651 individu dikompaun, 38 lagi direman manakala dua lagi dijamin.

Antara kesalahan direkodkan ialah rentas negeri/daerah tanpa kebenaran/makan/minum di premis (189), tiada penjarakan fizikal (133, tidak memakai pelitup muka (91), gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (78), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (63), membawa penumpang berlebihan (49), premis gagal patuhi arahan (21), aktiviti pusat hiburan (6) dan lain-lain (61).