KUALA LUMPUR : Kerajaan membuat keputusan untuk mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Baji, Sarikei, Sarawak selama lima hari bermula 3 April.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan berlaku peningkatan kes yang mendadak di lokaliti tersebut.

“Setelah mengambil kira nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Baji, Sarikei, Sarawak bermula 3 April sehingga 16 April 2021.

“Tindakan itu bagi memudahkan proses saringan  bersasar terhadap penduduk selain usaha mengawal penularan dalam komuniti,”katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu, penguatkuasaan PKPD turut dikenakan di kawasan Sungai Rassau, Batang Igan, Daerah Matu, Bahagian Mukah, Sarawak.

Ismail Sabri berkata, sebanyak 43 ujian saringan telah dilaksanakan dan daripada itu seramai tujuh individu dikesan positif.

Jelas pihak KKM, berlaku peningkatan mendadak bagi tempoh seminggu termasuk kadar kebolehjangkitan yang tinggi dalam komuniti.

“Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Sungai Rassau, Batang Igan, Daerah Matu, Bahagian Mukah, Sarawak bermula 3 April sehingga 16 April 2021.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan proses saringan COVID-19 supaya dapat diasingkan secepat mungkin serta mengawal penularan jangkitan dalam komuniti,” katanya lagi.