PUTRAJAYA: Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Tringgus, Bau, Kuching, Sarawak bermula esok sehingga 21 Mac.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan 596 ujian saringan di kawasan bekenaan sehingga 7 Mac dengan 37 kes positif direkodkan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ismail Sabri berkata,  keputusan itu diambil bagi memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk, serta mengawal pergerakan dan penularan jangkitan dalam komuniti.

Menurutnya lagi, KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di lokaliti tersebut, dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan akan melanjutkan PKPD di  Kg. Tanah Merah, Kota Marudu, Sabah, yang sepatutnya berakhir esok.

“Sehingga kini, 319 ujian saringan dijalankan dan 26 kes positif COVID-19 direkodkan, selain terdapat baki 181 keputusan ujian saringan belum diperolehi.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, tempoh PKPD Kg. Tanah Merah, Kota Marudu, Sabah akan berterusan sehingga 22 Mac 2021,” katanya lagi.