KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sembilan lokaliti di tiga buah negeri bermula 14 hingga 27 Jun, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri memaklumkan tiga negeri terbabit adalah Sabah dengan tujuh lokaliti manakala masing-masing satu lokaliti di Pahang dan Negeri Sembilan.

Beliau memaklumkan tujuh lokaliti di Sabah yang dikenakan PKPD ialah Kampung Indah di Nabawan, Kampung Manggis di Kuala Penyu, Taman Kinabutan Ria dan Simpang Inderasah di Tawau, Kampung Baru (SFI) di Sipitang, Kampung Tawadakan dan Kampung Kota Bungan.

Manakala di Pahang, lokaliti yang dikenakan PKPD adalah Kampung Raja di Cameron Highlands yang meliputi Sungai Ikan, Blue Valley, Taman Matahari Cerah, Taman Desa Corina dan Kampung Baru Kampung Raja.

Ismail Sabri memaklumkan, Kampung Lakai, di Jelebu merupakan lokaliti yang dilaksanakan PKPD di Negeri Sembilan.

Pelaksanaan PKPD ini untuk memutuskan rantaian jangkitan dengan menghalang pergerakan masuk individu luar ke dalam kawasan.

Selain itu, Pelaksanaan PKPD dilokaliti terbabit untuk menyekat pergerakan dan penularan jangkitan COVID-19 dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut.

Beliau juga memaklumkan beberapa lokaliti di Pahang, Sabah dan Negeri Sembilan ditamatkan pelaksanaan PKPD.

Antaranya ialah PKPD di Kampung Baru Melayu, Bentong dan Felda Jengka 24, Jerantut, Pahang yang ditamat pada 12 Jun.

Manakala satu lagi lokaliti di Pahang iaitu Ladang Chin Teck, Muadzam Shah, Rompin, ditamatkan PKPD lebih awal pada 13 Jun.

Dua lokaliti di Sabah iaitu Felda Sahabat 40 (Kg Kembara Sakti), Tungku di Lahad Datu dan Kampung Pendawan di Papar juga ditamatkan PKPD pada 13 Jun.

PKPD di perumahan Mukim Juasseh di Kuala Piliah di Negeri Sembilan juga ditamatkan PKPD pada 13 Jun seperti dijadualkan.