PUTRAJAYA: Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Abaka, Ladang Table, Tawau, selama dua minggu, berkuat kuasa Selasa ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan hari ini berkata, keputusan itu dibuat selepas kerajaan mendapati peningkatan kes ketara, dengan kadar kebolehjangkitan tinggi di lokaliti tersebut.

Ismail Sabri berkata, sehingga kini, terdapat 37 kes positif COVID-19 telah direkodkan hasil daripada 135 ujian saringan yang dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di lokaliti itu berkuat kuasa 25 Mei sehingga 7 Jun 2021.

“Pelaksanaan PKPD membolehkan KKM menjalankan pengesanan awal kes supaya dapat diasingkan secepat mungkin sekali gus memutuskan rantaian jangkitan di kawasan ladang tersebut,” katanya lagi.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, PKPD di Kampung Keramat, Semporna, Sabah, akan ditamatkan pada 24 Mei seperti dijadualkan sebelum ini.

Beliau berkata, KKM telah melakukan 138 ujian saringan dan 19 individu disahkan positif COVID-19.

Keputusan penamatan PKPD itu, jelasnya lagi, diambil selepas KKM mengesahkan trend kes menunjukkan penurunan dan kluster adalah terkawal manakala semua kes positif telah dirawat.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, semalam 644 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) PKP.

Daripada jumlah itu, beliau berkata, seramai 614 individu dikompaun manakala 30 lagi direman.

Ismail Sabri berkata, antara kesalahan tertinggi direkodkan ialah gagal merekod butiran diri ketika daftar masuk ke premis iaitu seramai 218 orang, tidak memakai pelitup muka (126) dan tiada penjarakan fizikal (103).

Selain itu, kesalahan tidak patuh arahan PKP (102 ), rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran (lima) dan lain-lain (90).

Sementara itu, melalui Operasi Benteng, katanya pihak berkuasa menahan 39 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas tiga kenderaan darat.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, 784 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan semuanya telah dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara.

Bagi saringan wajib pekerja asing pula, beliau berkata, 585 warga asing telah menjalani ujian saringan, dan enam kes positif COVID-19 dilaporkan.