KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua lokaliti di Kunak, Sabah dan satu lokaliti di Kuching, Sarawak bermula 1 sehingga 14 Mei.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dua lokaliti di Kunak itu ialah Kampung Skim Cocos dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Madai.

"Sehingga kini, KKM telah melakukan 186 ujian saringan dan lapan daripadanya disahkan positif COVID-19.

"KKM mengesahkan berlaku kenaikan kes secara mendadak dalam tempoh seminggu serta kadar kebolehjangkitan adalah tinggi di lokaliti ini.

"Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Kampung Skim Cocos, Kunak, Sabah berkuat kuasa 1 Mei sehingga 14 Mei 2021," katanya dalam kenyataan harian perkembangan pelaksanaan PKP.

Beliau menjelaskan, pelaksanaan PKPD dia dua lokaliti berkenaan adalah bagi memudahkan KKM membuat pengesanan awal kes COVID-19 selain menyekat penularan jangkitan dari kawasan berisiko ke kawasan lain luar di lokaliti tersebut.

Ismail Sabri memaklumkan, PKPD di satu lokaliti di Kuching pula melibatkan Kampung Sagah, Sungai Tengah Matang.

PKPD di lokaliti dilaksanakan setelah KKM memaklumkan berlaku kenaikan kes secara mendadak di lokaliti tersebut dan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi.

"Sehingga kini, KKM telah merekodkan 17 kes positif COVID-19 hasil daripada keseluruhan 148 ujian saringan.

"Malah, KKM juga memaklumkan berlaku kenaikan kes secara mendadak di lokaliti tersebut dan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi.

"Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM,Kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Kampung Sagah, Jalan Sungai Tengah Matang, Kuching, Sarawak berkuat kuasa 1 Mei sehingga 14 Mei 2021," katanya lagi.

Sementara itu, Ismail Sabri turut memaklumkan pelanjutan PKPD Sekolah Menengah Sains Machang, Kelantan berkuatkuasa 1 hingga 14 Mei.

Beliau menjelaskan, KKM memaklumkan terdapat kes baru direkodkan dengan kadar jangkitan masih tinggi di lokaliti ini selain terdapat 356 sampel ujian saringan sedang menunggu keputusan.