KUALA LUMPUR:Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Madrasah Daril Naim, Padang Halban, Mukim Peringat, Kota Bharu, Kelantan. 

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia akan bermula 29 Disember 2020 hingga 11 Januari 2021.

Ia berikutan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan berlaku peningkatan mendadak kes positif COVID-19 di Madrasah Daril Naim, Padang Halban, Mukim Peringat, Kota Bharu, Kelantan.

"Sehingga 25 Disember 2020, KKM telah melaksanakan sebanyak 99 saringan dan 29 disahkan positif COVID-19, manakala 69 sampel lagi masih menunggu keputusan," katanya dalam sidang media pada Isnin. 

Dalam pada itu, kerajaan juga bersetuju menamatkan PKPD di Penjara Seremban dan Kuarters Penjara Seremban,Negeri Sembilan pada 28 Disember 2020, iaitu lebih awal daripada yang dijadualkan.

Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 1,872 ujian saringan dan sebanyak 1,079 kes kumulatif positif COVID-19 telah direkodkan yang melibatkan tahanan dan kakitangan di penjara ini.

"Walau bagaimanapun, KKM mengesahkan sehingga kini baki kes aktif di penjara ini menurun serta terkawal dan tiada lagi sampel yang menunggu keputusan," ujarnya. 

Selain itu, PKPD turut dilanjutkan di Penjara Kluang dan Kuarters Penjara Kluang, Johor bermula 1 Januari sehingga 14 Januari 2021.

"Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 1,974 ujian saringan dan secara kumulatif sebanyak 447 kes positif COVID-19 telah direkodkan dalam kalangan tahanan dan kakitangan penjara ini," jelasnya lagi.

Bagi Sabah pula, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di Kg. Paginatan dan Kg. Maringkan,
Ranau, Sabah bermula 29 Disember 2020 sehingga 11 Januari 2021.

Manakala, PKPD di Kg. Dasar Baru dan Kg. Desa Bajau, Lahad Datu, Sabah pada 29 Disember 2020 seperti yang dijadualkan.

COVID-19: Data dan informasi setakat ini (Dikemas kini setiap hari)