KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Bergosong, Tawau, Sabah akan dilaksanakan bermula 2 Mei, susulan peningkatan kes mendadak di lokaliti tersebut.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabril Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan 59 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 22 kes positif COVID-19 telah direkodkan dalam tempoh seminggu.

"Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kg. Bergosong, Tawau, Sabah bermula 2 Mei sehingga 15 Mei 2021.

"Ini akan memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua yang terlibat dan seterusnya mengekang penularan jangkitan," katanya dalam kenyataan harian perkembangan PKP, pada Sabtu.

Sementara itu, PKPD di Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah, Kelantan yang dijadualkan tamat esok, dilanjutkan  sehingga 16 Mei.

"KKM telah melaksanakan 866 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 422 kes positif direkodkan.

"KKM melaporkan masih berlaku penularan berterusan dalam kalangan penghuni di kawasan PKPD serta terdapat 6 baki sampel saringan yang masih belum mempunyai keputusan," ujarnya.