TAIPING: Kerajaan negeri Perak akan memastikan tiada penduduk di dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) kelaparan atau jatuh sakit kerana tidak makan.

Sehubungan itu, kerajaan negeri akan memastikan mereka dibekalkan sekurang-kurangnya keperluan makanan asas seperti beras, tepung, bihun, gula, minyak masak dan sardin.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, pada masa sama, kerajaan negeri menggalakkan pelbagai pihak seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu untuk menyalurkan sumbangan barangan keperluan melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di setiap lokasi PKPD.

"Kita mengambil tanggungjawab memahami bahawa bila mereka tak boleh keluar rumah, dia perlu dibantu dari segi membekalkan barang makanan asas supaya jangan ada orang kebuluran tak makan dan jangan ada orang yang jatuh sakit kerana tak makan, itu sangatlah menyedihkan.

"Jadi, kerajaan negeri sedaya upaya kmembantu... kita dah turunkan peruntukan kepada Pejabat Daerah, kepada ADUN-ADUN supaya mereka dapat melihat sejauh mana mereka boleh bantu," katanya.

Beliau ditemui selepas program penyerahan bakul makanan di dua kawasan PKPD di Taman Kerian Tambahan, Parit  Buntar dan Taman Berkat, Taiping pada Selasa.

Taman Kerian Tambahan mempunyai 535 buah rumah terlibat manakala Taman Berkat mempunyai 1,218 buah rumah.

Beliau berharap penduduk terlibat dapat bersabar dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Pada 23 Mei lalu, Pejabat Menteri Besar Perak mengumumkan kerajaan negeri akan menyalurkan peruntukan RM2.38 juta bagi meringankan beban golongan miskin dan B40 di kawasan PKPD.

Selain itu, peruntukan sebanyak RM20,000 turut disalurkan kepada setiap 59 pejabat pusat khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.18 juta.