Seramai 23 individu ditahan dan direman oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada Khamis.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata PDRM turut mengeluarkan kompaun kepada 61 individu atas pelbagai kesalahan ingkar arahan pada hari kedua pelaksanaan PKPP.

“Jadi jelas menunjukkan, walaupun banyak kelonggaran yang telah dibenarkan oleh kerajaan, namun seperti saya saya sebutkan... masih ramai individu yang diambil tindakan oleh PDRM.

“Jadi, bukan apabila PKPP menggantikan PKP Bersyarat (PKPBB), maka tiada lagi tindakan undang-undang yang dilaksanakan. Ini bermakna rakyat terus perlu patuh pada setiap SOP dan peraturan yang dikeluarkan oleh kerajaan. Jika ingkar, tindakan diambil,” katanya dalam sidang media harian di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau berkata, PDRM melalui Task Force Operasi Pematuhan telah membuat 64,482 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP.

Katanya, sebanyak 3,748 Pasukan Pematuhan telah membuat pemantauan dan melibatkan seramai 16,743 anggota.