Kerajaan Malaysia telah memutuskan untuk membenarkan golongan ekspatriat untuk keluar negara, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ahli Parlimen Bera itu berkata, keputusan itu dicapai hasil Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan semalam.

Namun, jelasnya lagi, pergerakan keluar dari negara ini hanya dibenarkan sekiranya ekspatriat mempunyai urusan kecemasan atau perubatan sahaja.

“Kerajaan Malaysia tidak akan menghalang mana-mana warganegara asing yang berhasrat untuk pulang ke negara asal dengan syarat perjalanan pulang sehala sahaja (one-way).

“Bagi warganegara asing yang tiada dokumen perjalanan, mereka perlu terlebih dahulu mendapatkan dokumen perjalanan daripada kedutaan masing-masing,” katanya dalam kenyataan harian pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau berkata, Mesyuarat Khas secara dasarnya tiada halangan bagi kru warganegara asing untuk bekerja di atas vesel penangkapan ikan tempatan bagi memastikan bekalan ikan negara mencukupi.

“Walaubagaimanapun, warganegara asing yang terlibat perlu mendapatkan kebenaran keluar negara daripada Kerajaan masing-masing terlebih dahulu.

“Mereka perlu memohon Permit Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dari Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan menjalani saringan COVID-19 serta kuarantin wajib 14 hari. Pihak majikan juga perlu menyediakan tempat tinggal bagi kru warganegara asing,” katanya lagi.