KUALA LUMPUR:Kerajaan diminta untuk melihat kembali kebenaran melaksanakan majlis dalam kapasiti besar seperti majlis keraian dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USIM, Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar berkata, ini kerana, kebanyakan rakyat masih kurang disiplin terhadap prosedur operasi standard (SOP) seperti penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka.

Katanya, perkara itu dibimbangi akan mewujudkan kluster baharu dalam penularan jangkitan COVID-19.

"Berdasarkan kepada trend jangkitan semasa, kluster yang wujud ketika ini bermula dengan perhimpunan keluarga seperti majlis keraian yang berlaku di Perak, kluster Indah Mas, di Lembah Klang dan sebagainya.

"Majlis itu antara punca berlakunya penularan jangkitan dalam komuniti disebabkan kurang disiplin akan SOP yang ditetapkan seperti tidak bersentuhan, tidak memakai pelitup muka dengan kemas dan penjarakan fizikal," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Rafidah Hanim berkata, tidak ada mana-mana ubat atau vaksin yang dihasilkan tidak mempunyai kesan sampingan.

Bagaimanapun, katanya, penggunaan terhadap vaksin atau ubat itu perlu dinilai daripada aspek kesan pemulihan lebih tinggi berbanding kesan sampingan lain.

"Dalam mana-mana penghasilan ubat, akan ada kesan sampingan, cuma kita perlu pastikan ubat yang digunakan itu selamat dan kurang kesan sampingan.

"Sama juga dengan vaksin, jika ia tidak memudaratkan kesihatan atau kematian, maka vaksin itu selamat untuk digunakan meskipun ada kesan sampingan yang minima," jelasnya.