PUTRAJAYA: Sekatan jalan raya (SJR) di sekitar Putrajaya masih diteruskan walaupun berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 5 Mac lepas, kata Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Mohd Fadzil Ali.

Beliau berkata operasi SJR masih diteruskan dan pemeriksaan secara rawak juga akan dijalankan bagi memastikan orang ramai tidak memasuki Putrajaya tanpa surat kebenaran bagi melindungi daerah itu daripada risiko jangkitan COVID-19.

"Ini kerana Putrajaya dikeliling oleh Kuala Lumpur dan Selangor yang masih di bawah PKP Bersyarat (PKPB). Jika tidak dikawal, Putrajaya ini akan menjadi kawasan orang ramai berkumpul.

"Itu sebab jika orang luar datang buat aktiviti di sini tanpa surat rentas daerah, polis akan mengenakan kompaun," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd Fadzil berkata polis meneruskan kawalan ekoran masih ramai orang keliru tentang kawasan berdekatan Putrajaya tetapi terletak dalam daerah lain, contohnya pusat beli-belah IOI City Mall dan Cyberjaya adalah di bawah daerah Sepang.

Beliau berkata Presint 1 hingga Presint 20 terletak di bawah Putrajaya.

Katanya hanya penduduk Putrajaya boleh menjalankan aktiviti dalam komuniti tanpa kehadiran orang luar dan meminta orang ramai memberi kerjasama bagi melindungi daerah itu daripada pandemik COVID-19.

Mohd Fadzil berkata tindakan itu adalah bagi memastikan insiden semalam tidak berulang yang menyaksikan lima individu dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard PKPP ketika bermain bola sepak di Padang Bola Sintetik di Presint 8 kerana tidak memiliki surat kebenaran merentas daerah atau negeri untuk berada di Putrajaya.

Putrajaya, pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan, sering menjadi antara kawasan tumpuan orang ramai terutama pada hujung minggu untuk aktiviti beriadah serta bersukan kerana lokasinya yang strategik dan perjalanan singkat kerana dekat dengan Selangor dan Kuala Lumpur.

-- BERNAMA