PKR masih belum membuat keputusan rasmi mengenai kemungkinan menjalinkan kerjasama dengan Gerakan Harapan Baru (GHB) yang dimulakan pemimpin progresif PAS.

"Perkara ini akan dibawa ke dalam mesyuarat pimpinan dan keputusannya akan diumumkan kelak," kata Timbalan Presidennya, Mohamed Azmin Ali.

Apabila ditanya jika beliau sendiri memberi sokongan kepada kumpulan baru itu, Azmin menjawab bahawa ini soal permuafakatan antara parti pembangkang.

"Ini bukan soal peribadi. Semuanya akan dibincangkan di peringkat pimpinan parti," jelas beliau ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Selangor di Stadium Shah Alam, di sini pada Ahad.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli telah memberi sokongan penuh kepada penubuhan GHB.

“Saya beri sokongan penuh kepada GHB untuk mencipta gelombang sokongan dari rakyat untuk PRU14, Saya percaya GHB akan mengetuai konsensus menyatukan semua yang mahukan perubahan untuk mengalahkan UMNO dan BN dalam PRU14,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad mengeluarkan kenyataan bahawa pakatan pembangkang bakal berdepan masalah dalam Pilihan Raya Umum di masa hadapan jika berlaku pertembungan antara parti pembangkang di kerusi-kerusi yang bakal dipertandingkan.

Menurut beliau, tiada apa yang baharu dalam GHB dan sokongan kumpulan tersebut akan datang dari kalangan penyokong PAS dan bukan penyokong Barisan Nasional.

Berhubung perkara tersebut, Azmin berkata sudah menjadi amalan parti untuk tidak mencampuri urusan dalaman parti lain.

"Saya percaya pimpinan PAS akan selesaikan perkara ini.

"Namun, ingin saya tekankan kepada semua pimpinan parti terlibat bahawa yang paling penting ialah kepentingan rakyat harus dijaga," tegas beliau.