KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengecam kejahatan dan hipokrasi Israel, Amerika Syarikat (AS) dan sekutu mereka termasuk Kesatuan Eropah susulan pengeboman Hospital Al-Ahli Al-Arabi di utara Gaza oleh Rejim Zionis Israel pada Selasa.

Pengerusi Biro Antarabangsa PKR Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata tragedi yang mengorbankan lebih 500 orang itu tidak dapat diterima oleh mana-mana manusia bertamadun, berakal dan mempunyai perasaan.

Beliau berkata semua pihak yang berpegang kepada prinsip keadilan, menghormati undang-undang antarabangsa dan mempunyai nilai kemanusiaan tidak dapat menerima jenayah pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan terhadap rakyat Palestin oleh Israel ketika ini.

"Strategi perang rejim Zionis Israel terhadap Semenanjung Gaza sejak peperangan ini bermula lebih seminggu yang lalu bukan sahaja serangan bom tetapi hukuman secara kolektif dengan memutuskan bekalan air, elektrik dan makanan.

"Semalam, Israel telah meningkatkan tahap serangan dengan mengebom hospital tempat merawat orang awam yang cedera serta tempat perlindungan wanita dan kanak-kanak yang dijamin selamat oleh undang-undang antarabangsa," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Shamsul Iskandar berkata semua strategi perang ini bertujuan menjadikan Semenanjung Gaza sebagai kawasan yang tidak boleh didiami seterusnya meningkatkan lagi tekanan dan suhu peperangan di rantau itu.

Justeru, beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Presiden PKR, telah menghubungi pemimpin Hamas iaitu Ismail Haniyeh semalam bagi menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi Malaysia kepada rakyat Palestin.

"Selain bantuan sebanyak RM100 juta, Kerajaan Malaysia komited untuk membantu meraih lebih banyak sumbangan bagi usaha serta operasi kemanusiaan dan perubatan untuk rakyat Gaza.

"Serangan Israel ke atas Gaza kali ini yang disokong oleh AS dan sekutu mereka khususnya Kesatuan Eropah telah membuka mata lebih banyak negara serta jutaan masyarakat dunia," katanya.

Beliau juga berkata kecaman yang dihadapi oleh Israel termasuk daripada rakyatnya sendiri serta sokongan terhadap Palestin oleh kuasa besar dunia seperti Rusia dan China selain negara Arab menunjukkan peralihan sokongan kepada rakyat Palestin.

Katanya PKR akan berdiri teguh bersama seluruh rakyat Malaysia untuk berusaha dan berdoa agar rakyat Palestin bebas daripada kejahatan penjajah rejim Zionis Israel.

-- BERNAMA