Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali menyifatkan tindakan Setiausaha Agung DAP Lim Guang Eng menolak cadangan PKR menjadi orang tengah dalam menyelesai kemelut antara DAP dan PAS hanya pandangan peribadi.

Usaha menyatukan kedua-dua parti bertelagah itu, menurut Mohamed Azmin, perlu diteruskan bagi memastikan tiada pengkhianatan kepada rakyat.

“Tak apalah, itu pandangan peribadi beliau tetapi saya kira Keadilan mempunyai tanggungjawab yang besar untuk memastikan Pakatan Rakyat terus kuat dan kukuh.

“Ini adalah peranan yang telah dimainkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dan akan diteruskan bagi kepentingan negara dan rakyat,” kata beliau yang ditemui di Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan Selangor di Shah Alam hari ini.

BACA: PAS terima usul putus hubungan dengan DAP


BACA: Muktamar kecoh seketika isu 'putuskan hubungan dengan DAP'


Beliau mengulas kenyatan Guan Eng pada Isnin yang menolak campur tangan PKR bagi menguruskan kemelut dengan PAS.

Mohamed Azmin turut menegaskan pentadbiran negeri itu masih kukuh dan tidak terjejas walaupun PAS memutuskan hubungan dengan DAP.

Lebih 110 pegawai dan kakitangan awam telah menerima pengiktirafan terhadap perkhidmatan yang berdasarkan prestasi tahunan mereka.

Muktamar Tahunan PAS ke-61 pada Sabtu lepas meluluskan usul yang dibawa Dewan Ulama PAS pusat tanpa dibahas bagi memutuskan hubungan dengan DAP susulan beberapa kenyataan pimpinan parti itu terhadap Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang terutama dalam isu hudud.

Bagaimanapun usul berkenaan mahu PAS mengekalkan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dalam pakatan pembangkang bersama PKR.

BACA: Mat Sabu umum lepaskan semua jawatan di Pulau Pinang

BACA: Mujahid pula umum lepaskan semua jawatan di Pulau Pinang selepas Mat Sabu