MALAYSIA
PLSB Sungai Kelantan Fasa 2 dilaksana ikut perancangan, dijangka siap April 2029

Projek dengan peruntukkan RM1.064 bilion itu telah bermula pada April lepas, dengan kemajuan fizikal projek adalah 6.02 peratus. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan Fasa 2 kini dilaksanakan mengikut perancangan dan dijangka siap pada April 2029, menurut Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
Ringkasan AI
- PLSB Sungai Kelantan Fasa 2 bermula April lalu dengan peruntukan RM1.064 bilion dan dijangka siap pada April 2029; kemajuan fizikal setakat 30 Jun adalah 6.02%.
- Skop projek termasuk penstabilan tebing, naik taraf sungai, pembinaan pintu kawalan banjir dan tembok banjir, melibatkan banyak lokasi sekitar Kelantan.
- Lebih 35,700 penduduk dijangka mendapat manfaat dengan perlindungan banjir sehingga 50 ARI, selari dengan konsep Malaysia MADANI dan usaha tebatan bencana negara.
"Kerajaan Persekutuan melalui PETRA terus komited memperkukuh pelaksanaan projek tebatan banjir demi kesejahteraan rakyat," menurut kenyataan itu.
Menurut PETRA, projek berkenaan kini dalam fasa pengambilan tanah antaranya proses pewartaan di bawah Seksyen 4 dan Seksyen 8 bagi skop perlindungan cerun atau tebing, saliran banjir, tembok banjir Sungai Seribong.
"Kerajaan Persekutuan menjalinkan kerjasama erat dengan kerajaan negeri dan agensi seperti Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Kelantan dan Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu termasuklah utiliti bagi memastikan proses pengambilan tanah berjalan lancar dan dipercepatkan.
"Secara tidak langsung, ini membantu mengawal peningkatan kos projek," menurut kenyataan itu.
PETRA memaklumkan kerja-kerja menaik taraf Sungai Mulong dan Sungai Seribong turut melibatkan lencongan air dari kedua-dua sungai tersebut ke Sungai Pengkalan Datu sebelum dialir keluar ke laut sementara kerja-kerja pembersihan tapak (clearing) telah bermula bagi pembinaan saliran banjir di beberapa lokasi.
Antara lokasi terlibat adalah Balai Islam ke Sungi Lubok Mulong; Kampung Tokku ke Saliran Mandi; Kampung Kadok; Kampung Tunjong; Kampung. Desa Kujid; Kampung Baung Bayam serta Kampung Demit dan Masjid Sultan Ismail.
Menurut PETRA, projek PLSB Sungai Kelantan Fasa 2 ini dijangka akan memanfaatkan penduduk sekitar lebih 35,700 orang dengan tahap perlindungan hingga 50 Average Recurrence Intervals (ARI) serta mengurangkan keluasan kawasan berisiko banjir sehingga hampir 40,620 hektar kawasan.
"PLSB Sg. Kelantan Fasa 2 merupakan pelengkap kepada PLSB Sungai Kelantan Fasa 1 yang hampir siap sepenuhnya. PETRA yakin bahawa projek ini akan memberi impak besar kepada kesejahteraan penduduk setempat.
"Ia memainkan peranan penting dalam membina ketahanan negara terhadap bencana banjir pada masa akan datang, sejajar dengan konsep Malaysia MADANI yang menekankan keseimbangan antara pembangunan fizikal dan kelestarian alam sekitar demi kesejahteraan rakyat," menurut kenyataan itu.
Pada 18 Julai lepas, Ahli Parlimen Kubang Kerian Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyarankan PETRA memberi tumpuan khusus terhadap PLSB Sungai Kelantan Fasa 2 bagi mengelakkan kelewatan pelaksanaan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami