Penyedia perkhidmatan lebuh raya terbesar negara ini, PLUS Malaysia Bhd (PLUS) bersedia untuk meneliti semula perjanjian konsesi sekiranya kerajaan memutuskan untuk mengambil alih lebuh raya kendalian syarikat itu.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata ini sejajar dengan kedudukan PLUS sebagai sebuah syarikat konsesi yang telah memeterai perjanjian terbabit dengan kerajaan.

"Jika kerajaan mahu mengubahnya (perjanjian), maka kita akan meneliti (cadangan) mengikut perjanjian terbabit.

"Kita perlu menunggu apa yang kerajaan mahu tawarkan," katanya kepada pemberita selepas pelancaran kerjasama PLUS dengan Microsoft pada Selasa.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan mengenai kesediaan PLUS terhadap langkah pengambilalihan konsesi oleh kerajaan.

PLUS merupakan cabang lebuh raya UEM Group (UEM), anak syarikat Khazanah Nasional Bhd (Khazanah).

UEM dan Khazanah secara kolektif memegang 51 peratus saham dalam PLUS manakala baki 49 peratus dimiliki oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

BACA: Mansuh tol? Ini penjelasan Khazanah

Dalam kenyataan sebelum ini, Khazanah menyerahkan kepada PLUS untuk mengendalikan rundingan terbabit sekiranya kerajaaan bercadang untuk mengambil alih lebuh raya bertol kendalian PLUS.

Khazanah bagaimanapun akan memberi nasihat kepada PLUS dari semasa ke semasa jika wujud sebarang perkembangan berkaitan.

BACA: Ambil alih empat lebuh raya tidak libatkan kos kerajaan - Guan Eng

Pada Sabtu lepas, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan bahawa Kementerian Kewangan telah memberi surat tawaran rasmi kepada empat syarikat konsesi lebuh raya bertol dengan harga 'enterprise value' atau nilai wajar perusahaan sebanyak RM6.2 bilion yang boleh menjimatkan wang pembayar cukai sebanyak RM5.3 bilion dari segi bayaran pampasan kepada pemegang konsesi terbabit.

Empat lebuh raya itu adalah Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong SMART (SMART).

--BERNAMA