KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mempercepatkan proses pindaan rangka kerja undang-undang berkaitan e-dagang bagi memastikan ekosistem perniagaan digital negara lebih selamat, teratur dan mesra usahawan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu penting bagi memenuhi keperluan peniaga digital yang semakin berkembang, khususnya usahawan muda yang memanfaatkan platform dalam talian untuk menjana pendapatan.
Menurut beliau, Akta Perdagangan Elektronik yang digubal sejak 2006 sedang diteliti semula bagi menyesuaikannya dengan perkembangan teknologi serta model perniagaan digital semasa.
“Saya telah beri arahan supaya proses penambahbaikan peraturan dan undang-undang berkaitan e-dagang dipercepatkan kerana anak muda mahukan satu sistem yang lebih pantas, lebih mudah dan memberi perlindungan yang sewajarnya,” katanya.
“Kalau betul menarik juga menguntungkan serta beri ruang kepada rakyat dan anak-anak muda berniaga, saya boleh luluskan awal Oktober,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Tiktok Summit Malaysia 2026 hari ini.
Anwar berkata kerajaan menyokong perkembangan ekonomi digital kerana ia membuka peluang kepada lebih ramai rakyat menceburi bidang keusahawanan tanpa memerlukan kos operasi yang tinggi seperti premis perniagaan atau modal besar.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pertumbuhan sektor itu perlu disertai mekanisme kawal selia yang berkesan bagi memastikan aspek keselamatan pengguna, kualiti produk serta etika perniagaan terus dipelihara.
“Setiap inisiatif baharu pasti ada cabaran. Kita mahu ruang ini berkembang tetapi pada masa sama perlu ada perlindungan supaya tidak berlaku penipuan, maklumat mengelirukan atau penyalahgunaan platform digital,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan akan memastikan sebarang pindaan undang-undang mengambil kira keperluan peniaga kecil dan usahawan baharu supaya mereka dapat berkembang dalam persekitaran yang lebih kondusif.
Pada masa sama, Anwar berkata pelbagai agensi kerajaan termasuk TEKUN Nasional, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan institusi kewangan berkaitan kerajaan akan terus digerakkan bagi membantu usahawan mikro serta peniaga baharu mendapatkan akses kepada pembiayaan.
Beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan bersedia meneliti cadangan daripada pemain industri bagi menambah baik ekosistem e-dagang negara.
“Kalau perlu pindaan undang-undang baharu untuk memudahkan urusan peniaga dan memberi perlindungan kepada pengguna, kita akan lakukan.
"Yang penting, peluang ini mesti dimanfaatkan untuk membantu rakyat dan anak muda berjaya dalam bidang perniagaan,” katanya.