PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan kebimbangan bahawa kemajuan tamadun dan teknologi dunia hari ini tidak lagi seiring dengan nilai kemanusiaan yang semakin terhakis.
Menurut beliau, keadaan itu menjadi semakin membimbangkan apabila kemajuan yang dicapai tidak disertai nilai kemanusiaan, sehingga kuasa dan pengaruh digunakan untuk mengakibatkan penderitaan kepada begitu ramai manusia.
“Apa yang paling membimbangkan ialah hakikat bahawa semakin kita menganggap diri sebagai masyarakat yang bertamadun, semakin canggih teknologi yang kita miliki.
“Semakin hilang pula sifat kemanusiaan dalam kalangan sebahagian daripada kita,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Forum GBA-ASEAN Mengenai Peralihan dan Integrasi Tenaga di Hotel Sunway Resort, hari ini.
Turut berkenan menghadiri forum itu ialah Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan, Tunku Zain Al-'Abidin Tuanku Muhriz, serta Presiden UN Sustainable Development Solutions Network (SDSN), Profesor Jeffrey Sachs.
Anwar berkata, ketegangan geopolitik terutama di rantau Asia Barat yang semakin meruncing bukan sahaja mencetuskan krisis kemanusiaan, malah turut mengganggu rantaian bekalan global serta menyebabkan harga menjadi tidak menentu.
Menurut beliau, keadaan itu memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat, terutama golongan terpinggir dan kurang berkemampuan, sekali gus menuntut negara memperkukuh agenda peralihan dan keselamatan tenaga.
"Peralihan kepada sumber tenaga bersih dan boleh diperbaharui bukan sekadar satu pilihan demi alam sekitar, Ia merupakan satu keperluan strategik yang berkait rapat dengan keselamatan negara," katanya.
Beliau turut menyentuh konflik yang terus memuncak di Asia Barat dengan berkata dunia masih menyaksikan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, selain konflik yang semakin meruncing di Iran, Lubnan dan beberapa wilayah lain.
Katanya, setiap hari ratusan malah ribuan nyawa terkorban akibat pengeboman berterusan, dengan lelaki, wanita dan kanak-kanak terus menjadi mangsa.
“Malangnya, peperangan antara Amerika Syarikat dan Iran masih tidak menunjukkan sebarang petanda, apatah lagi petanda yang jelas akan berakhir.
“Apabila kita melihat keadaan ini dari sudut kuasa dan pengaruh, kita hanya mampu berdoa dan berharap agar kewarasan akan kembali mengatasi segala-galanya,” katanya lagi.